Oleh : Khalid Abdullah
KEMAMAN – Rasa keprihatinan yang tinggi terhadap nasib nelayan yang terkesan apabila tiba musim tengkujuh, PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, tidak ketinggalan menyantuni golongan tersebut setiap tahun.
Pengarah PAS DUN Kemasik, Amri Mamat berkata demikian di Pantai Kuala Kertih di sini, selepas menyerahkan bantuan barangan keperluan dapur kepada 32 nelayan pesisir pantai yang tidak dapat turun mencari rezeki kerana keadaan laut bergelora sejak seminggu lalu.
“Musim tengkujuh kebanyakan nelayan ini tidak dapat turun ke laut, menyebabkan mereka terputus sumber pendapatan seketika.
“Sumbangan kepada para nelayan ini, walaupun tidak seberapa namun kita harapkan dapat membantu meringankan beban setelah mereka banyak berbelanja untuk persekolahan anak-anak di awal tahun.


Selain itu katanya, program sebegini akan terus diadakan untuk memupuk semangat persaudaraan dan kerjasama yang tinggi antara masyarakat nelayan dan pimpinan PAS DUN Kemasik.
Amri juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Lujnah Kebajikan PAS DUN Kemasik dan Lujnah Kebajikan Unit Peti Undi (UPU) PAS Pekan Kertih yang tekun mengambil inisiatif dengan rasa penuh tanggungjawab cuba mengatasi kesukaran masyarakat nelayan ini.
“Mengambil cakna kebajikan rakyat khususnya nelayan, akan menjadi agenda utama PAS DUN Kemasik dalam meraih sokongan undi dalam Pilihanraya Umum ke-14 akan datang ini,” tegas Amri lagi.




























