Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata kerajaan negeri Terengganu perlu mengambil tuntutan agar pihak Petronas dan Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak Terengganu.
Katanya, hak milikan kawasan tersebut wajar dikembalikan sebagaimana Perjanjian Akta Petroleum 1974 atas nama ‘royalti’ dan bukan dana khas atau wang ehsan.
“Kita (PAS) minta Menteri Besar (Ahmad Said) dengan tegas pertahankan hak untuk dapat hak milik (medan minyak Bertam) itu kepada negeri Terengganu.
“Kita (Terengganu) perlu ambil tuntutan itu dari Petronas dan Kerajaan Pusat (Persekutuan) ikut sebagaimana Perjanjian Petroleum 1974 sebagia royalti,” tegasnya kepada Harakah.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Yang Ketiga Penggal Persidangan Yang Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-12, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada Isnin 10 Disember.
Menurutnya, isu penemuan medan minyak tersebut melibatkan hak royalti serta maruah rakyat dan kedaulatan negeri Terengganu.
Sebelum itu, MB Terengganu, Ahmad Said memaklumkan kepada dewan kerajaan negeri telah menghantar surat kepada Petronas bagi pengesahan lanjut tentang penemuan rizab minyak tambahan yang terletak di kawasan medan PM307-Bertam yang berada di kawasan Terengganu.
Beliau menjelaskan, syarikat cari gali minyak di kawasan berkenaan iaitu Lundin Oil mengesahkan tentang penemuan itu dan menyatakan ia berada di kawasan negeri ini.
Menurut Ahmad, sekiranya ia disahkan berada di kawasan Terengganu, negeri ini dijangka akan memperoleh royalti tambahan sebanyak RM100 juta setahun atau pertambahan sebanyak lima peratus.
“Setakat ini, jawapan rasmi kita masih belum perolehi tetapi kita menerima surat daripada syarikat yang melaksanakan kerja-kerja carigali iaitu Lundin Oil bahawa penemuan di luar pantai Semenanjung Malaysia antara Terengganu dan Pahang itu kepunyaan Terengganu.
“Mungkin ada sedikit kekeliruan sebab ia berada di kawasan sempadan iaitu di Geliga, Kemaman tetapi kita masih belum tahu lokasi sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Dun Terengganu Ke-12.
Beliau menjelaskan, kerajaan Terengganu menerima RM2 bilion dalam Kumpulan Wang Sepcial daripada Petronas tahun ini manakala pada tahun lepas, Petronas membayar RM1.6 bilion.
Katanya, kerajaan negeri dijangka menerima lima peratus atau lebih RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran minyak, apabila penerokaan minyak di Blok PM307 bermula pada suku ketiga 2014.
Ahmad, ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Batu Burok), mengesahkan keseluruhan bayaran dana khas royalti daripada Petronas akan diterima Kerajaan Negeri pada Mac 2013, sebagaimana persetujuan yang dicapai antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Cuma biasanya berlaku Petronas akan bayar pada minggu pertama bulan Mac dan September dan Kerajaan Pusat akan membayar pada minggu keempat pada Kerajaan Negeri. Kesemuanya akan diterima sepenuhnya pada tahun hadapan (2013).
“Berasaskan kepada persetujuan itu, kerajaan negeri bersetuju menarik balik saman itu kerana apa yang penting, kita mendapat keseluruhan daripada Petronas dan telah pun dipersetujui bersama,” ujarnya.
Tambahnya, nama (royalti) itu tidak penting kerana apa yang penting adalah Terengganu mendapat hak bayaran dari hasil minyak dan gas tersebut.


























