PAS Bersedia, Bila-bila Masa Hadapi Pilihanraya

946

KUALA TERENGGANU – PAS sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan di negeri ini terutama berhubung desas-desus akan berlakunya pilihan raya kecil (PRK) di negeri Terengganu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, YB Ariffin Deraman berkata, walaupun perkara itu belum jelas buat masa ini apatah lagi tiada sebarang maklumat rasmi, namun pihaknya akan melakukan persiapan sekiranya masa tersebut tiba.

“Kita PAS ini memang sifat sentiasa bersedia tidak kiralah sama ada Syawal ke hatta Ramadan atau sepanjang masa. PAS bersedia menghadapi pilihan raya khusus untuk berdepan dengan Umno kalau berlaku mana-mana kerusi DUN yang dikosongkan untuk menghadapi PRK ini.

“Memang kita bersedia bila-bila masa, tiada masalah,” katanya kepada Sinar Harian sempena program Lebaran Bersama Murabbi di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Terengganu, Kuala Ibai, di sini.

Ariffin yang juga Adun Alor Limbat tidak menolak pernah mendengar desas-desus mengenai PRK itu yang dikatakan bakal dikosongkan oleh Adun BN berikutan tidak berpuas hati berhubung krisis pemilihan menteri besar yang berlaku di negeri ini tahun lalu.

Buat masa ini, beliau menjelaskan tidak tahu sejauh mana kebenaran desas-desus terbabit namun pihaknya meletakkan jentera dalam keadaan berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan.

https://youtu.be/_jSTamms8rM

“Setakat ini memang tiada (kekosongan kerusi PAS tetapi kalau BN berhasrat (mengosongkan kerusi), kita memang bersedia untuk bertanding. Tidak kira kerusi mana pun kita bersedia,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, jika PRK benar-benar berlaku dalam tempoh terdekat, pihaknya tidak menolak untuk memberi tumpuan terhadap isu-isu nasional yang kontroversi selain isu yang memberi tekanan kepada rakyat.

Antaranya, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kenaikan harga barang yang disifatkan luar biasa khususnya dalam bulan Ramadan dan sepanjang musim perayaan ini.

“Memang rakyat terasa, sebab itulah kami menungu-nunggu kalau ada pilihan raya diadakan dalam masa terdekat untuk menilai sejauh mana rakyat terkesan dengan suasana kenaikan harga barang termasuk kenaikan harga minyak,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung pilihan raya negeri (PRN) yang turut tersebar di negeri ini katanya, ia memerlukan kepada undi tidak percaya sekiranya dua kelebihan kerusi dimiliki BN Terengganu keluar dari parti itu dan menyokong pembangkang.

“Jadi bila diterima undi tidak percaya, kita boleh bawa kepada sultan dan perisytiharan mesti dibuat oleh menteri besar untuk PRN tetapi mesti ada dua kerusilah (yang keluar BN) tetapi berkemungkinan (desas-desus) melibatkan satu kerusi. Kalau satu kerusi berlaku PRK sahajalah,” katanya.