PAS Batu Rakit Yakin Menang

3156
Ketua UPU Bukit Wan, Mohd Chik menerima replika kunci sempena perasmian Markaz Pilihan Raya UPU tersebut

SETIU – PAS yakin berjaya dalam usaha merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit yang sekarang ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Batu Rakit, Ustaz Nazari Alias berkata, PAS sudah bersedia mengambil kembali kerusi Batu Rakit bagi membantu PAS Terengganu memerintah negeri ini.

“Dengan dengan segala kepincangan yang sangat jelas dilakukan oleh Umno, rakyat tidak ada pilihan lain lagi kecuali memberikan mandat kepada PAS,

“isu-isu bukan sahaja berlegar dengan isu setempat seperti isu pembaziran Taman Ilmu, Kenyir tetapi juga dengan isu-isu peringkat nasional seperti GST, 1MDB, Felda dan terbaharu berkaitan dengan isu agama anak-anak Indera Ghandi,

“semua ini mesti dijelaskan oleh PAS dan rakyat mesti difahamkan agar tidak lagi ketinggalan dan masih menyokong Umno, apatah lagi dengan bantuan kemudahan teknologi yang ada, PAS akan berjaya insyaallah,” katanya,

Beliau berkata, jentera PAS bekerja keras sepanjang tempoh sepenggal yang lalu dan kini dipertingkatkan lagi dalam tempoh yang sangat mendekati PRU 14.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program kunjungan muhibah oleh PAS Bukit Payong yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), YB Ustaz Mohd Nor Hamzah pada Jumaat 9 Februari.

Sehubungan itu, katanya, pertemuan jentera kedua-dua DUN tersebut, dijadikan sebagai medan bertukar-tukar fikiran bagi memantapkan lagi jentera PRU bagi keseluruhan organisasi dan untuk membantu kemenangan.

Ustaz Shafizi Ismail

Turut diadakan sempena lawatan Ketua Penerangan PAS negeri itu ialah Majlis Perasmian Markas Pilihan Raya Unit Peti Undi (UPU) Bukit Wan.

Menyentuh kejayaan Batu Rakit Nazari berkata, Pemuda PAS yang diketuai oleh Ustaz Shafizi Ismail, telah berjaya menubuhkan kembali Cawangan Pengkalan Atap yang sudah tidak aktif selama 14 tahun.

Shafizi yang ditemu dalam Majlis yang sama berkata, kejayaan itu tanda kemenangan awal kerana adalah kampung kepada ADUN Batu Rakit, yang akan memberi impak besar kepada beliau.

Bahkan, tambah beliau lagi, Pemuda Pengkalan Atap adalah peserta teramai yang menyertai konvoi bermotor DUN Batu Rakit yang diadakan kira-kira dua minggu lalu dengan penyertaan seramai 80 orang.

Beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Terengganu menjelaskan selepas kekalahan PAS tahun 2004, Pengkalan Atap seperti ketandusan tenaga muda untuk membantu jentera parti peringkat Dun.

Namun katanya, memandangkan cawangan ini adalah cawangan ADUN Batu Rakit, maka usaha yang giat telah dijalankan dan hasilnya amat memberangsangkan kerana berjaya mengumpul ratusan anak muda yang cintakan Islam.

Ustaz Shafizi yang berkelulusan dari Universiti Lampeter, Wales, turut berkeyakinan pemuda-pemuda ini akan terus bersama PAS kerana pengisian program tidak hanya tertumpu kepada hal dunia sahaja, malah ilmu akhirat turut ditekankan dalam program PAS.

“Kami Pemuda Dun Batu Rakit menyahut cabaran YB Ketua Penerangan, Ustaz Mohd Nor Hamzah untuk Batu Rakit menjadi salah satu Dun penyumbang kerusi bagi PAS Terengganu kembali menguasai kerajaan,” tegas beliau.