PAS Ajak UMNO Kembali Ke Pangkal Jalan

275

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu mengajak UMNO kembali ke pangkal jalan membentuk negeri dan negara lebih maju, dinamik dan sejahtera sekali gus menghalang cita-cita Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa.

Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata hari ini PAS tidak mahu berbalah dengan UMNO tetapi mengajak pemimpin dan ahli parti nasional Melayu itu bekerjasama demi perpaduan ummah dan survival politik umat Melayu Islam di negara ini.

Katanya, PAS banyak berdiam diri selama ini kerana mahu menjaga Muafakat Nasional (MN) dan perpaduah ummah serta tidak mahu PH kembali memerintah Malaysia.

“PAS senyap kerana nak jaga muafakat kali ini kita harap dia jadi molek (baik) semula.

“Kita (PAS) tidak mahu PH memerintah negara kita (buat kali kedua) dengan (cara kita) padam semua perkara yang menyakitkan hati,” katanya ketika berucap di Majlis Jelajah Teguh Bertahan di Kuala Ibai di sini pada Sabtu.


Turut hadir Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Hamzah Ngah, Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, Dr Balachandran G Krishnan.

Ustaz Hishamuddin yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS seterusnya mengajak orang UMNO bersama PAS membina negara dan negeri tanpa menghirau pemimpin yang disifatkannya sebagai kepala pengat (keras kepala) dalam parti itu.

“Kalau ada orang UMNO mari (datang di majlis ceramah ini) duduk (beri kerjasama) dengan kita, nak sokong UMNO teruskan tetapi jangan ikut pemimpin kepala pengat,” ujarnya.

Beliau berharap UMNO balik ke pangkal jalan bersama dengan PAS menyusun langkah perlu dan fokus ke depan untuk mencari jalan bagaimana membawa negeri Terengganu ke arah yang lebih maju, dinamik, sejahtera dan berkat dengan acuan Islam.

“Yang tidak betul tetap tidak betul sebab itu kita nak generasi baru penyokong UMNO terdiri dari mereka yang celik (sedar) dan bermaklumat.

“Kita bina bersama negeri kita, hak lepas, lepaslah (biar berlalu), kita pandu balik negeri kita menuju ke arah mana yang kita nak tuju selepas ini,” jelasnya lagi.

Tamat.