‘Orang Asal’ Diminta Beri Kerjasama Saring Darah

1566

Oleh : Aminji

KEMAMAN – Pengerusi Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) PAS Air Putih, Cikgu Haji Ab Razak Ibrahim berharap agar orang asli terus memberi kerjasama dalam proses saringan darah yang akan dilakukan dari semasa ke semasa.

Katanya, ia adalah bagi memastikan kuman malaria tidak merebak dalam kalangan mereka.

“Kesihatan adalah satu aspek yang penting dalam kesejahteraan hidup rakyat. Justeru, usaha yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman ini,

“adalah satu langkah terpuji kerana sanggup berkunjung ke kawasan yang jauh di pedalaman bagi menjaga kebajikan masyarakat,” ujarnya.

Beliau yang juga ADUN Air Putih berkata demikian ketika berucap pada program Kempen Kesedaran Malaria yang dianjurkan oleh Unit Vektor, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman. Di perkampungan orang asli Sungai Putih, semalam 29 Ogos.

Turut sama rombongan beliau ialah Ketua Vektor, Dr Faizol Haris, kakitangan Pejabat DUN dan I-MITS.

Sehubungan itu, beliau berharap ikatan ukhuwah diantara penduduk kampong terbabit dan kerajaan negeri dapat dipertingkatkan.

“Saya berharap program seperti ini dapat mengeratkan lagi perhubungan dua hala antara kepimpinan kerajaan negeri dengan masyarakat Orang Asli di Sungai Putih ini,” kata beliau lagi.

Menurutnya, perkampungan orang asli Sungai Putih didiami oleh seramai 65 orang penduduk dan program tersebut ialah susulan, ekoran peningkatan lima kes malaria yang menyerang penduduk kampung tersebut.

Dalam program itu, saringan darah telah dilakukan oleh pegawai perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman yang diketuai oleh Ketua Vektor, Dr Faizol Haris.

Dalam program tersebut juga diadakan ceramah, pameran dan tayangan video tentang malaria di samping penyampaian bantuan keperluan harian oleh Cikgu Razak kepada ketua keluarga 6 buah rumah panjang orang asal.

Selain itu, aktiviti gotong-royong membersih kawasan juga dijalankan bersama dengan penduduk setempat.