Normalisasi ‘Sugar Daddy’ Rosakkan Institusi Keluarga

256

Ameerah Malaysia melahirkan kesedihan dengan pendedahan mengenai amalan ‘sugar daddy dan sugar baby’ yang semakin berleluasa dalam negara.

Lebih menghampakan apabila amalan bercanggah agama dan moral ini melibatkan golongan terpelajar.

Sebahagian besar ‘sugar daddies’ pastinya merupakan suami kepada isteri dan ayah kepada anak-anak, yang pasti kecewa dengan pengkhianatan yang dilakukan oleh seorang ketua keluarga.

Manakala ‘sugar babbies’ pula pastinya memiliki ibu dan bapa yang mengasihi mereka, tanpa mengetahui apa yang dilakukan seorang anak perempuan di belakang mereka.

Normalisasi tukaran wang dengan maruah adalah suatu perbuatan hina yang mesti dihentikan.

Mempertahankan maruah walau nyawa menjadi taruhan adalah pegangan mulia seorang wanita, manakala menyerahkan maruah demi sedikit kemewahan adalah satu prinsip songsang yang hanya akan membawa penyesalan dan kerosakan berpanjangan.

Golongan kaya yang sanggup membeli maruah wanita dengan wang adalah ahli masyarakat yang sangat tidak bertanggungjawab. Perbuatan mereka mesti dianggap jijik dan hina , dan tidak boleh dipandang remeh. Jika duit boleh digunakan untuk memangsakan golongan terdesak, maka mereka adalah penerus barah kerosakan dalam masyarakat.

Ameerah Malaysia memperingatkan kalian dengan Firman Allah Taala:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan) Surah al-Isra’, 17:32

YB Zuraida Md Noor
Ketua Pengarah Ameerah Malaysia
ADUN Wanita Terengganu

#AmeerahPAS
#AmeerahMalaysia
#MuslimatMudaPAS
#IslamMemimpinWanitaSejahtera