Patuhi SOP, Putuskan Rantaian Covid 19, Selamat Tahun Baharu Cina 2021

148

Pada hari esok, 12 Februari 2021 masyarakat Tionghua (Cina) di Malaysia amnya dan di Terengganu khususnya akan menyambut “TAHUN BAHARU” seperti tahun-tahun sebelum ini.

Namun, sambutan pada tahun ini pastinya akan berbeza, kerana negara dan seluruh dunia hari ini sedang dilanda wabak Pendemik Corona Virus atau Covid-19, sejak setahun yang lalu.

Perayaan ini lazimnya akan disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Tionghua / Cina di Malaysia, yang menandakan kedatangan tahun baru mengikut kelendar masyarakat Tionghua.

Masyarakat Cina percaya ada 12 bintang yang menaungi kelendar mereka. Iaitu Tikus, Lembu, Harimau, Arnab, Naga, Ular, Kuda, Kambing, Monyet, Ayam Jantan, Anjing dan Babi. Setiap binatang ini memberi signifikan dan tuahnya yang tersendiri bagi mereka.

Secara adat tradisinya pada malam ‘Tahun Baru’ semua ahli keluarga akan berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama. Tujuannya adalah untuk mengeratkan jalinan hubungan sesama keluarga. “Makan Besar” bersama keluarga ini satu budaya yang amat baik. Keluarga adalah benih yang akan tumbuh sebuah komuniti dan seterusnya membentuk satu warga bangsa yang kuat, kukuh dan bermaruah.

Namun dalam situasi norma baru akibat Pendemik Covid-19 yang melanda, semuanya akan berubah, lebih-lebih lagi setelah Majlis Keselamatan Negera (MKN) telah memutuskan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seluruh Negara kecuali Sarawak, dilanjutkan sehingga 18 Februari 2021 ini. Kita rakyat dan Masyarakat Tiaonghua khususnya pastinya tidak mahu, selepas perayaan ini wujud pula “Kluster Tahun Baharu Cina”, yang tentunya akan menambahkan lagi beban yang sedia ada.

Sebagai membuktikan kebersamaan kita, marilah bersama-sama kita nikmati dan kekalkan keharmonian, kedamaian dan kerukunan hidup yang telah kita pupuk selama ini. Yakinlah bahawa kepelbagaian bangsa, warna kulit, budaya dan sebagainya bukan ciptaan kita dan bukan juga ciptaan datuk nenek kita.

Ianya ciptaan “TUHAN” yang Maha Pencipta. Hanya iman dan taqwa yang membezakan nilai di antara kita.

Akhir kata, saya selaku pimpinan PAS Negeri Terengganu mengucapkan “SELAMAT TAHUN BAHARU” kepada masyarakat Cina di Negeri Terengganu khususnya. Semoga anda sekalian bergembira dengan kedatangan tahun baru ini. Terima kasih.

“GONG XI FA CAI”

Daripada:
YB Senator Dato’ Haji Husain Awang
Pesuruhjaya PAS Terengganu
11 Februari 2021