“Negeri yang berdegar-degar syarah, duit gaji minta kat saya…”

200

Saya gunakan istilah ‘royalti’ dalam penulisan ini sebagai suatu istilah umum yang paling mudah difahami oleh masyarakat awam bagi maksud bayaran hasil minyak kepada negeri-negeri yang menjadi pengeluar minyak.

Untuk lebih detail, saya tulis sikit kronologi royalti minyak Terengganu.
Terengganu mula menerima royalti minyak dari 1978 sehinggalah royalti dirampas pada tahun 2000 ketika PAS mentadbir Terengganu. Usul supaya tarik balik royalti ini diusulkan oleh Ketua Umno Bahagian Dungun dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 2000.

Royalti bermakna bayaran tunai langsung sebanyak 5% dari hasil petroleum oleh Petronas terus ke dalam akaun Kerajaan Negeri sebanyak 2 kali setahun, dilakukan pada bulan Mac dan September setiap tahun.

Selepas tahun 2000, tiada lagi bayaran langsung oleh Petronas kepada Kerajaan Negeri. Wang Ehsan mula diperkenalkan. 5% yang sepatutnya diterima langsung oleh Kerajaan Negeri dari Petronas telah diambil oleh Kerajaan Pusat dan disalurkan kepada JPP dan agensi Pusat lain. Tiada lagi penyaluran terus dari Petronas kepada akaun negeri sebagaimana maksud royalti yang asal.

Apabila BN kembali memerintah Terengganu pada 2004, wang ehsan disalurkan kepada Kerajaan Negeri oleh MOF samada dalam bentuk tunai atau pun perlaksanaan projek. Antaranya kos pembinaan LPT2 sebanyak RM1.8 bilion adalah menggunakan duit minyak hak Negeri Terengganu. Sehingga sekarang Kerajaan Pusat masih terhutang RM1.4b kos pembinaan LPT2 kepada Kerajaan Terengganu. Malah duit minyak Terengganu juga digunakan untuk pelbagai projek pembangunan perumahan di negeri-negeri lain.

Apabila PAS mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018, bayaran hasil minyak kepada Terengganu dikenali sebagai ‘Wang Tunai Petroleum’ pada zaman Kerajaan Tun M sebagai PM dengan dipotong 25% sebagai bayaran hutang Negeri kepada Pusat tinggalan Kerajaan lepas sebanyak RM800j. Sebanyak RM600j bayaran hasil minyak Terengganu sempat dipotong oleh Kerajaan Pusat zaman LGE jadi MOF. Dalam masa yang sama, RM1.4b hutang LPT2 Kerajaan Pusat kepada Terengganu masih tak terusik.

Apabila berlaku perubahan Kerajaan Pusat selepas 22 bulan PH memerintah, TSMY menjadi PM, bayaran hasil minyak kepada Terengganu dikenali sebagai ‘Dana Khas Kerajaan Persekutuan’ (DKKP). Bayaran diteruskan apabila DSIS mengambil alih teraju pentadbiran negara.

Selepas PRU 15 pada November 2022, Kerajaan Pusat pimpinan PMX mentadbir negara. Bulan Februari 2023, dalam pembentangan Belanjawan 2023 PMX menyatakan bahawa wang hasil minyak akan disalurkan kepada Terengganu setelah dipotong sebahagiannya untuk program basmi kemiskinan. Berapa nak dipotong? Dalam pertemuan dengan MB Terengganu, PMX memaklumkan bahawa jumlah yang akan dipotong antara 6-7%. Potongan dibuat tanpa berunding dengan Kerajaan Terengganu untuk apa duit potongan itu akan dibelanjakan. Itu pun suatu tindakan yang tidak menghormati semangat federalisma. Kerajaan Pusat boleh berunding dengan Sabah dan Sarawak tapi kenapa tidak dengan Terengganu?

Bulan Mac 2023 sepatutnya pembayaran royalti dibuat untuk separuh pertama tahun 2023 tapi tak dibuat. PMX janjikan pula bahawa royalti akan dibayar selepas Pilihanraya Umum Negeri pada Ogos 2023. Kita tunggu selepas PRU Negeri, tetap juga tak dibayar.

Setiap bulan pihak Kewangan Negeri perlu memohon dengan Perbendaharaan Negara dengan mengemukakan pelbagai dokumen. Antaranya, perlu dinyatakan apakah kegunaan wang yang dimohon seperti untuk bayaran gaji dan lain-lain. Kita nak minta hak kita tapi perlu bagitahu nak buat apa. Setiap bulan dapatlah sekitar RM50j yang cukup untuk bayar gaji sedangkan hak Terengganu dari hasil minyak adalah sekitar 1.5-1.6 bilion setahun.

Janji PMX nak potong 6-7% sahaja, bakinya akan dibayar kepada Terengganu.

Dengan penyaluran sekitar RM50j sebulan, tolak yang nak dipotong 6-7%, kita boleh kira sendiri secara kasar berapa lagi wang hak Terengganu yang masih berbaki bagi tahun 2023.

Kerajaan Persekutuan juga pernah hantar pihak audit untuk periksa akaun Kerajaan Negeri tapi tak jumpa apa-apa perbelanjaan wang yang menyalahi tatacara pengurusan kewangan.

Sekarang sudah bulan Mac 2024, sepatutnya Terengganu dapat bayaran wang hasil minyak bagi separuh pertama tahu 2024. Kami masih menunggu.

Persoalannya, apa yang PMX dapat dengan menafikan hak 1.2 juta rakyat Terengganu? Apakah rakyat Terengganu perlu dihukum kerana kesalahan kami tidak memilih PH/BN yang telah memberikan mereka angka sifar dalam pilihanraya umum dan pilihanraya negeri serta pilihanraya kecil? Hasil dikaut dari perut bumi Terengganu tapi penduduknya dizalimi.

PMX pernah kata,
“Negeri yang berdegar-degar syarah!
Gaji pun minta kat saya!”

Duit yang Terengganu tuntut ialah hak rakyat Terengganu dari hasil petroleum. Bukan mengemis untuk bayar gaji Dato’ Seri PM. Tak kisahlah samada atas nama Royalti, Dana Khas Petroleum atau Wang Ehsan, yang penting hak rakyat Terengganu wajib disalurkan. Dato’ Seri dulu ketika jadi pembangkang pernah janji nak bagi 20% royalti. Tapi Terengganu tak tuntut pun 20%. Hanya minta hak kami 5% sahaja. Pelbagai pertemuan dan perbincangan telah dibuat oleh YAB MB Terengganu bersama PM tapi natijahnya masih sama.

Dato’ Seri seorang pejuang hak rakyat dari zaman muda lagi. Maka tak sayugia rakyat Terengganu didera hanya kerana kami membuat keputusan tidak memilih parti Dato’ Seri dalam PRU. Dengan jiwa besar seorang negarawan, Dato’ Seri perlu hormati pilihan rakyat.

Ringkasnya samada istilah Royalti atau Wang Ehsan atau Wang Tunai Petroleum atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan, kesimpulannya Terengganu memang berhak menerima sejumlah bayaran dari hasil petroleum yang diambil dari Perairan Terengganu. Bagi kami apa istilah yang digunakan itu tak penting. Tapi wang hak rakyat Terengganu wajib dibayar.

Dr Azman Ibrahim