Oleh : Dr Azman Ibrahim
Biasanya apa sahaja program yang diberi nama ‘Kongres’ tak begitu mengamit kehadiran masyarakat umum untuk hadir. Pemahaman umum melihat kongres adalah suatu program khusus untuk kelompok khusus sahaja. Mudah cerita, Kongres adalah program untuk orang pakai smart dengan kasut berkilat.
Tetapi Kongres Rakyat pada tanggal 12 September 2015 ternyata menghadirkan suasana berbeza. Saya menganggarkan kehadiran melebihi dari kapasiti yang boleh dimuatkan dalam Dewan Jubli Perak Shah Alam lebih 5 kali ganda. Mereka datang dari segenap pelusuk negara dari pelbagai lapisan masyarakat.
DUN Jabi sahaja mengirimkan 2 buah bas. Yang datangnya 100 % dari kalangan petani, peniaga kecil, penoreh, pesawah, tukang rumah serta orang-orang kampung. Datang dengan belanja sendiri, berselipar Jepun dan berkemeja lusuh. Bukan sekadar untuk meramaikan jumlah peserta, tetapi untuk membawa balik buah tangan berharga dari Pentas Kongres.
Walaupun sedikit hampa lantaran ramai yang tak dapat masuk ke dewan, ianya tak merencatkan semangat dan tekad mereka untuk membuat perubahan. Adalah satu kesilapan besar andainya suara rakyat kebanyakkan ini dipandang sepi sebelah mata. Mereka tiada wang, tiada pangkat dan tiada kedudukan tapi mereka punya kuasa undi. Undi yang boleh menjatuhkan mereka yang sedang selesa di kerusi empuk di Putrajaya sana.
Kongres Rakyat yang mungkin dipandang enteng oleh mereka yang sedang memegang kuasa. Ibarat anjing menyalak bukit sahaja. Tak menjadi kudis gatal bagi sang penguasa. Tapi bak kata Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang berucap atas kapasiti Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, anjing sebenarnya bukan menyalak bukit tetapi menyalak babi yang ada di atas bukit. Peribahasa yang membikin panas telinga bagi mereka yang makan lada.


Kehadiran yang melimpah ini memberikan isyarat jelas bagaimana kekuatan dan kemampuan yang dimiliki PAS untuk menggerakkan massa dari peringkat yang paling bawah terutamanya masyarakat Melayu Islam. Benarlah bagai kata Tan Sri Kadir Sheikh Fadir bahawa PAS adalah parti tunjang dalam negara. Organisasinya mendasar sehingga menjejaki peringkat yang paling bawah. Pakatan yang mengenepikan sebuah parti tunjang tak akan bertahan lama.
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu mengirimkan 10 petugas media terdiri dari editor, wartawan, jurugambar dan juruvideo bagi menghadirkan liputan terbaik Kongres ke seluruh dunia. Mesej kepada media sempat dititipkan Tuan Guru Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia semasa ucaptama beliau, “Media mesti melaporkan dengan adil dan rakyat mesti menilai dengan adil!”
Saya tertarik dengan mesej kenegaraan dan kemanusian sejagat yang diketengahkan oleh Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia ketika menyampaikan Ucaptama Kongres dengan memetik ayat Allah bertemakan manusia di seluruh dunia adalah satu keluarga.
Al Quran menyuruh manusia bertaaruf kerana hakikatnya adalah mustahil untuk manusia hidup bersendirian tanpa bergantung antara satu sama lain. Kalau manusia seluruh dunia adalah satu keluarga, maka kita di Malaysia adalah terlalu kecil. Dalam konteks Malaysia, Melayu Islam adalah yang paling kuat dan layak untuk memimpin.
Bukan atas semangat asobiyyah kemelayuan, tetapi memimpin dengan Islam agama Allah. Hanya Islam yang akan mampu menyelesaikan masyarakat majmuk dengan adil. “Kita punya tanggungjawab untuk membentuk Malaysia yang sejahtera”, Kata Tuan Guru.




























