Mengisi Kemenangan Dengan Formula Nabi

1959

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Empat agenda utama formula warisan Nabi Muhammad SAW perlu dicontohi dan diperkasakan sebaik sahaja kemenangan diberikan oleh Allah.

Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Ustaz Kamaruzzaman Abdullah berkata demikian di program Liqa’ Mahabbah Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, di Dewan Sivik Kemasik di sini pada Isnin semalam.

“Agenda pertama Rasulullah SAW adalah ucapan salam dan mewujudkan perasaan kasih sayang, terutamanya oleh mereka yang diberi tanggungjawab memimpin.

“Kedua pula ialah melaksanakan program kebajikan seperti memberi makan kepada orang ramai terutamanya golongan ibu tunggal dan orang miskin.

“Hubungan kita dengan Allah perlu dijaga sebaiknya dan perbanyakkan amalan munajat sebagai agenda ketiga yang perlu kita contohi dari Baginda Nabi,” ujar Ustaz Kamaruzzaman.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu turut mengingatkan bahawa tugasan menyambung tali persaudaraan dan perkuatkan hubungan ukhuwah sesama saudara seagama sebagai agenda terakhir yang menjadi teras perlu diutamakan.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dalam ucapannya menyifatkan liqa’ mahabbah adalah program yang sangat baik kerana dapat menjalin hubungan erat antara pimpinan di peringkat DUN dengan setiap jemaah parti.