Situasi ‘kuku besi’ yang berlaku dalam kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP bukan hanya berlaku kepada PAS, bahkan ia turut membabitkan PKR.
Menurut Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang teraniya, Iszuree Ibrahim, Ahli Majlis dari PKR yang menentang satu projek bertentang dengan garis panduan, turut menerima nasib yang sama.
“masalah ini bukan sahaja berlaku kepada saya….kepada PAS, PKR pun menghadapi situasi yang sama sekarang, dimana satu ahli Majlis PKR yang berkhidmat menegur ahli majlis DAP,
“benda (perkara) itu sampai kepada Ketua Menteri, terus tak boleh sambung (perkhidmatan)………..nampak situasi ‘kuku besi’ yang berlaku?,”jelasnya ketika ditemui.


Perkara tersebut telah sampai kepada pihak Ketua Menteri dan akibatnya, kata Iszuree, ketua Whip PKR tersebut telah digantung dan ditarik keluar daripada Jawatankuasa OSC.
“DAP tidak puas hati…..sampai maklumat kepada CM (Chief Minister) …………dia (Ketua Whip PKR) ditarik keluar, sebagaimana yang saya kena……..dikosongkan tempat itu,
“jadi di sini kita nampak senario (kuku besi) dimana (apabila) menentang sahaja (apa yang dipersetujui oleh DAP) ‘akan dipancung’………ini menampakkan wajah yang sebenar setelah penggal dua memerintah,”tegas Iszuree.
Sebelum itu, beliau yang juga Bendahari Badan Perhubungan Pulau Pinang berkata, beliau hanya membawa mandat BPPPP untuk menyuarakan pandangan pembangunan pesat di Pulau Pinang selepas Pilihanraya Umum Ke-13.
Katanya, ucapan beliau semasa Muktamar PAS Kali ke 60 di Batu Pahat kira-kira tiga minggu yang lalu adalah hasil daripada memorandum PAS Pulau Pinang kepada Ketua Menteri sendiri, yang diserahkan sendiri oleh Pengerusi Lujnah Tanah PAS Pusat, Mazlan Aliman.
“dalam proposal tersebut, kita menyebut, perlunya kerajaan menggubal satu polisi yang baru, yang sebelum ini hanya diberikan ruang kepada pemaju untuk menyelesaikan isu pembangunan satu-satu projek perumahan,
“tetapi (amalannnya) apabila diberikan kepada pemaju, terdapat ketidakadilan berlaku kepada rakyat yang terbabit dengan pembangunan tersebut, tidak menjamin penduduk terbabit akan mendapat tempat tinggal di situ,”ujar Iszuree.
Namun begitu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Lujnah Tanah berkata, ucapan beliau telah di ‘pusing’ oleh Malaysiakini dan akhirnya Ahli Majlis DAP dan PKR menentang beliau.
Melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ketua Menteri kemudiannya, menggantung Iszuree sebagai Ahli Majlis dan menarik semua peruntukan serta keahlian dalam tiga Jawatankuasa, Jawatankuasa Kewangan, Jawatankuasa Perancang Bandar dan Jawatankuasa Pelesenan.


























