Memilih Antara Sekawan Kerbau Atau Lembu

144

Seorang ayah ingin mencuba pekerjaan baharu iaitu menternak. Dengan wang dia ada, dia mampu membeli samada sekawan kerbau atau lembu bagi memulakannya. Maka dia merasa perlu dilibatkan sama dua anak lelakinya yang remaja bagi projek ini. Bertanyalah dia kepada dua anaknya itu, ternakan manakah yang kamu mahu ternak.

Kiranya si ayah menjangkakan ia adalah satu soalan mudah yang hanya dapat diputuskan beberapa ketika sahaja. Tetapi ia menjadi sedikit sukar kerana keduanya tidak mempunyai kata sepakat binatang manakah yang mahu dibeli bagi projek penternakan itu. Si ayah menyuruh mereka berbincang dan kemudian memberitahu kepadanya binatang manakah yang akan dibeli.

Ketika ayah mereka pergi, rupa-rupanya perbincangan mereka bertukar menjadi perkelahian dan kemudiannya menjadi merebak kepada pergaduhan antara keduanya. Setelah bertumbuk dan masing-masing mendapat luka dan lebam-lebam, banyak perkakas yang musnah, datanglah ibu mereka meleraikan mereka. Tetapi ia berhenti sesudah banyak barang yang rosak, sudah ada darah yang menitis.

Ibu mereka bertanya, kenapa kamu bertumbuk, sedangkan kamu adik beradik, apakah yang menyebabkan kamu hilang kewarasan? Si abang menjawab, ayah telah bertanyakan kami tentang binatang ternakan yang mahu dibeli bagi kami membelanya. Saya memilih kerbau, tetapi adik memilih lembu. Saya tidak sukakan lembu dan saya mahu ayah membeli kerbau.

Si adik menjawab, saya tidak sukakan kerbau kerana kotor, selalu berlumpur. Dan mereka kembali berperang mulut. Ibunya mendiamkan mereka lalu bertanya, di manakah kerbau atau lembu itu sekarang? Di kandang kah, atau di padangkah? Kedua beradik itu menjawab, masih belum ada, ayah mereka belum membelinya.

Lantas ibunya, sebagai orang tengah menasihatkan, jadi bermakna kamu berdua berkelahi, bertumbuk untuk perkara yang masih belum wujud? Alangkah ruginya kita, hanya kerana angan-angan dan sikap gelojoh kamu, kamu mendapat sakit, barang-barang juga banyak yang rosak, tetapi barangnya belum tentu ada. Semua ini harus dikeluarkan belanja bagi merawat dan menggantikan barang-barang ini. Pastinya penjual perabut dan klinik yang gembira mengambil untung dari kebodohan kamu.

Begitulah jika kita suka berkelahi dengan apa yang masih jauh dan tiada di tangan. Umno dan Bersatu di Terengganu sudah saling mengumumkan untuk bertanding ke semua kerusi. Di mana ada Umno, Bersatu akan masuk. Sedangkan PAS sudah menguasai 22 kerusi dan juga sudah mempunyai perjanjian kerjasama antara keduanya. Menang belum tentu, tetapi siapa mahu berkuasa sudah diperbalahkan disertai dengan ugut-mengugut.

Yang tersenyum sekarang ialah DAP, PKR dan juga Pan sebagaimana tuan kedai perabut dan klinik. Kita bertelingkah, membuka ruang kepada mereka mencari untung. Itu baharu di Terengganu, apa akan jadi pula di seluruh negara ? Sikap tidak sedarkan diri dan merasa insaf ini hanya merugikan rakyat yang wataknya seperti si ayah tadi. Besar harapan bagi si ayah untuk menyaksikan projek ternakannya berjaya, namun dikecewakan oleh sikap tamak dua beradik itu.

PAS, pastinya menjadi watak pendamai, persis si ibu yang mengasihi kedua anaknya. Menasihati, merapatkan saf adalah tugas PAS, demi memastikan rakyat akan mendapat kebaikan daripada kerjasama tiga parti ini. Jika diikat hati semua dengan ikatan kerana Allah dan juga untuk menjaga bangsa, sudah barang tentu DAP, PKR dan juga Pan akan kerugian, kalah sekali lagi dan negara akan selamat dari kerakusan mereka.

Lihatlah kepada rakyat. Mereka sudah penat menonton pertelagahan kita. Lihatlah kepada cendikiawan, mereka telah menasihatkan kita. Lihatlah kepada agama, ia mengharapkan kita bagi membelanya. Lihatlah kepada negara, ia memerlukan kita bagi memacunya ke depan. Jika tiada ikatan, saksikanlah amukan dari rakyat, kehinaan dari Allah kerana peluang mempertahankan kebaikan telah dilepaskan.

Ke mana kita mahu membawa semua tanggungan ini? Ke mulut buaya yang menganga kah, atau ke mulut harimau yang siap untuk menerkam. Dan, kita juga akhirnya akan menjadi mangsa terkaman mereka. Cukuplah…..

Mohd Nasir Abdullah
11 Mac 2021