Manfaatkan Ruang Dan Peluang Pertahan Kemenangan

476

KUALA TERENGGANU – Jentera Parti Islam SeMalaysia (PAS) perlu memanfaatkan ruang dan peluang selaku pemerintah untuk menyusun dan melaksanakan gerak kerja mempertahankan kemenangan.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, setiap peringkat perlu fokus kepada matlamat parti agar perjuangan berada di landasan yang betul.

“Dengan segala apa yang kita capai pada hari ini tidak sepatutnya kita gagal mempertahankan kerajaan, itu dari sudut bahasa adatnya.

“Perlu menggunakan segala kekuatan yang kita ada bagi menyampaikan segala maklumat serta kebaikan yang kita lakukan menerusi media.

“usaha sebelum kita berserah kepada Allah, jangan rasa kita ramai maka ‘sedap duduk’, sebab apa yang dilalui sekarang sangat berbeza dengan suasana dahulu,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bekia, Sukan dan NGO Negeri berkata demikian ketika berucap pada Program Permukiman anjuran Urus Setia Belia Dan Sukan Negeri Terengganu (UBSNT), semalam.

Katanya, PAS mengurus tadbir negeri ini ianya berlandaskan pada prinsip ‘parti menguasai kerajaan’ .

“Dicetuskan melalui penubuhkan unit-unit yang disesuaikan dengan Lajnah dan juga Dewan-dewan yang ada dalam parti, bagi memperkasakannya.

“Kerana gerak kerja dilakukan ini tak semudah menyebut A, B dan C, kita perlu tenaga yang boleh bertindak dalam kepelbagaian suasana, keadaan dan juga masalah.

“Yang penting matlamat untuk menjawab segala isu dan memberikan penerangan kepada rakyat dapat disampaikan,” tegasnya.

Oleh itu beliau berkata, adalah sangat penting dilakukan penyelarasan atas apa jua diputuskan parti, untuk diambil tindakan oleh kerajaan.

“Kerana segala gerak kerja yang kita nak buat ini mesti berdasarkan matlamat perjuangan yang telah kita gariskan.

“Jika kita jelas dengan matlamat sebenar, insya Allah kita selamat,” ujarnya.