Media Sosial Senjata Yang Perlu Dikuasai PAS

1867

Oleh : Hanif Hamdan

HULU TERENGGANU – Media baharu merupakan salah satu senjata  ampuh yang mesti dikuasai oleh PAS  dengan segera mengatur langkah berstrategi terutamanya media sosial.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Hulu Terengganu, Ariff Azlan, berkata ianya telah digunakan sebaiknya oleh Pakatan Harapan (PH) untuk menumbangkan  Barisan Nasional (BN)  dalam Pilihan Raya Umum(PRU) 14 yang lalu.

“PAS perlu memperkemaskan bahagian penerangan dalam alam maya kerana rakyat pada hari ini rata-ratanya lebih terdedah kepada media sosial seperti facebook, twitter dan sebagainya,” ujarnya.

Arif Azlan

Ahli jawatankuasa Pemuda PAS DUN Kuala Berang itu,  berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Adun Kuala Berang di sini pada 12 Disember.

“Kita perlu bangkit dari sekarang untuk menguasai media sosial supaya dapat menepis segala persepsi buruk yang dimainkan oleh PH dengan penerangan yang jelas dan berfakta,” Tegasnya.

Beliau berharap setiap ahli PAS  perlu mempersiapkan diri sebagai mujahid siber bagi menerangkan agenda Islam yang dibawa oleh PAS kepada masyarakat keseluruhannya.

“Selain berdakwah di lapangan secara langsung, kita juga  turut berjuang menerangkan agenda perjuangan yang kita dokong di medan maya secara berilmiah,beretika dan berhikmah.” jelas Arif lagi.

Beliau juga tidak menafikan sumber kewangan juga mestilah kukuh dalam mendepani saraf pihak lawan.

“Sumber kewangan bagi menguasai media sosial juga merupakan salah satu aspek penting yang PH miliki sehingga berjaya menumbangkan sebuah kerajaan yang sudah bertapak lebih enam dekad di negara ini,” ujarnya.

Meskipun begitu, beliau mengingatkan, keterikatan dengan Allah SWT juga penting sebagai alat utama perjuangan agar setiap langkah yang diatur selalu dinaungi petunjukNya.