Masalah Nelayan, Petani Tumpuan Utama

2085

Oleh : DMS

SETIU – Masalah nelayan dan petani khususnya di kawasan Setiu dan seluruh negara amnya, di jangka akan dibangkitkan pada persidangan Parlimen penggal pertama pada bulan depan.

Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata kesulitan yang sering dihadapi oleh golongan tersebut akan menjadi agenda beliau pada sidang kali ini.

“saya akan membangkitkan masalah ini dan memohon penjelasan daripada kerajaan dalam membela nasib mereka ini, diberi mandat oleh rakyat,

“bagi nelayan musim tengkujuh adalah masa paling sukar untuk mereka memperolehi pendapatan dan bagi petani seperti penanam padi, penoreh getah, peneroka kelapa sawit…… harga dan subsidi sering menimbulkan masaalah bagi mereka,” jelasnya.

Yang DiPertua PAS Kawasan Setiu itu berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Parlimen Setiu pada Khamis, 28 Jun di Bandar Permaisuri.

Menurut beliau, golongan terbabit perlu diberi perhatian yang serius kerana dikalangan mereka ramai yang masih miskin dan berpendapatan rendah serta tidak menentu.

Sehubungan itu, beliau akan turut memberikan fokus kepada isu-isu alam sekitar yang juga menjadi tanggungjawab kepadanya, di peringkat parti.
|
“saya akan mendapatkan penjelasan tentang langkah-langkah kerajaan dalam menjaga ekosistem bagi projek-projek yang sedang berjalan dan yang akan dibangunkan,

“Terengganu (adalah) antara negeri yang mempunyai pantai indah yang sering dikunjungi oleh pelancong begitu juga dengan kehijauan hutan semulajadi yang perlu dijaga,

“kita berharap kerajaan dapat mengenalpasti satu mekanisma yang boleh menguntungkan semua pihak terutama rakyat dalam pembangunan yang dirancang ,” tegasnya.

Majlis sambutan sempena hari raya, disambut dengan meriah dengan kehadiran PesuruhJaya PAS Negeri Terengganu, Dato Husin Awang, Pegawai Daerah Tuan Haji Rosdi bin Awang, Pegawai-pegawai jabatan kerajaan.