Mahathir Setuju Azmin Saman Utusan

968

Katanya, Azmin boleh menafikan gambar tersebut dengan membawa pihak terbabit ke mahkamah melalui saman malu.

“Saya tak pernah percaya kepada gambar, saya percaya kepada agama Islam saja. Dia (Azmin) boleh nafi itu bukan dia. Saya harap dia (Azmin) bawa orang (penyebar) itu ke mahkamah.

“Saya tak kata apa pun kena saman malu, ini buat macam itu bagi malu Azmin. Nampak macam dia betul-betul, jadi malulah dia (Azmin).

“Patut dia (Azmin) bawa ke mahkamah, tak patutlah macam tu. Dia patut bawa ke mahkamah, RM100 juta ke, RM5000 juta ke, apa ke…, saya kena RM100 juta tapi mujurlah menang,” ujarnya dengan sinis.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Bicara Negarawan Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad “Cabaran Umat Islam Masa Kini: Persepsi atau Realiti” di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Negeri Terengganu, pada Khamis 3 Mei.

Semalam, beberapa buah akhbar arus perdana menyiarkan gambar-gambar skandal seks mirip pemimpin PKR, Azmin Ali yang dipetik dari laman blog ‘scandalazminali.blogspot.com’ dan ‘papagomo.com’ yang ‘mesra’ Umno-BN.

Sementara itu, beliau masih berpendirian menyokong usaha kerjasama antara MAS dengan AirAsia yang terpaksa dibatalkan oleh kerajaan.

Tun Dr Mahathir berpendapat MAS patut belajar dengan AirAsia yang terkenal dengan tambang murah tetapi tidak pernah rugi sejak 10 tahun lalu.

Sedangkan, katanya MAS yang mendapat bantuan kerajaan sehingga RM3 bilion ringgit setiap tahun masih mengalami kerugian.

“Saya berpendapat, saya sokong dulu berkenaan kerjasama antara MAS dengan Airasia ni. Tapi, tak tahu caranya. Nampaknya orang menentang cara agihan tukaran saham. Ini yang dibantah oleh banyak orang. Tapi mereka tidak bantah tentang kerjasama. Jadi sekarang ini, dibatalkan.

“Kerjasama harus diteruskan kerana MAS boleh belajar banyak daripada AirAsia. Kita tahu Airasia ini dia kenakan tambang cukup murah dan kadang-kadang ‘free’. Tapi masih kekal sudah 10 tahun tidak bankrap lagi.

“Sepatutnya bankraplah, kalau saya jadi tuan punya AirAsia bankrap lama dah. MAS ini dapat bantuan kerajaan sampai RM3 bilion ringgit tapi masih rugi setiap tahun,” jelasnya.