Oleh : Wan Sukairi Wan Abdullah
Sebaik saja orang Arab misteri itu berlalu, saya terus buka sampul surat itu. Tergamam saya melihat wang tunai Riyal Saudi yang berjumlah 1000 Riyal. Alhamdulillah, spontan lidah saya menuturnya. Saya tidak kenal dan tidak pernah berjumpa dengannya.
Tanpa buang masa saya terus mencari restoran, lagak saya seperti peserta ‘pemburu harta karun’. Saya membeli makanan dan minuman serta makan semahunya. Seolah olah tak makan sebulan. Malam itu saya tidur puas walau hanya di kerusi lapangan terbang.
Keesokkan pagi saya semak jadual penerbangan ke Malaysia dan saya dapati hanya minggu depan ada. Saya berfikir lagi, apa yang saya mahu buat dalam tempoh itu.
Tiba Tiba saya teringatkan guru saya Habib Hussain, beliau tinggal di Jeddah dan Alhamdulillah, kebetulan saya memang ada menyimpan nombor telefonnya. Saya terus menelefon beliau.


” Wa’alaikummussalam, ” jawab Habib Hussain.
“enta min, ” soal beliau.
“ana Syukri ya Habib, ” balas saya, gembira.
“Syukri? Syukri min? , ” soal beliau lagi.
Habib tak cam aku ni, getus hati saya.
“ana Syukri Al-Eidarus, ” jawab saya menyamar.
Saya terpaksa menyamar kerana mungkin beliau tak perasan saya. Saya guna nama Syukri kawan saya itu kerana dia adalah keturunan Syed atau Habib dan Syeikh lebih mengenalinya.
Tekaan saya tepat. Sebaik mendengar nama Syukri Al Eidarus, terus syeikh Habib bertanya saya dan berjanji akan datang jemput saya di lapangan terbang Jeddah. Saya terasa begitu gembira sekali kerana akhirnya saya ada orang yang akan menolong saya. Alhamdulillah, saya syukur kepada Allah.
Sebaik kereta Syeikh Habib sampai, beliau terus mendapatkan saya. Kami berpeluk penuh kasih sayang. Saya bertalaqqi kitab Al-Hikam dengan beliau semasa di Mesir. Beliau terus bertanya saya, “enta Al-Eidarus?”
Saya terus memohon maaf kepada Syeikh Habib “muazziratan ya Habib, ana Syukri Abdullah”


Di rumahnya saya dijamu dengan makanan yang pelbagai. Sedang saya rancak bercakap dengannya, tiba-tiba ayahnya masuk sambil memberi salam. Syeikh Habib bingkas bangun sambil mencium tangan ayahnya. Ini lah akhlak baik yang ditunjukkan oleh Habib di depan saya.
Selesai makan, Syeikh Habib mengajak saya pergi ke rumah yang saya akan menginap. Di dalam kereta beliau menghulurkan saya duit sebanyak 500 Riyal Saudi. Saya terima dengan penuh syukur dan gembira.
Sedang kami bersembang, saya terlihat gambar dua orang syeikh yang digantung di cermin tengah kereta.
Saya bertanya Syeikh Habib, siapa mereka berdua ini? Syeikh Habib menyatakan yang ini Habib Umar bin Hafiz dan yang ini Syeikh Sayyidi Muhammad Al Alawi Al-Maaliki Al-Hasani sambil menunjukkan jarinya pada gambar itu.
Saya kata alangkah bertuahnya saya jika dapat bertemu dengan kedua syeikh besar ini. Spontan Syeikh Habib mengatakan pada saya “Insya Allah kita akan berjumpa dengan mereka berdua malam ini,”.
Allah Akbar, saya bertakbir gembira kerana dapat peluang keemasan untuk berjumpa sendiri dan menjadi tetamu kepada Syeikh Muhammad Al-Alawi Al-Maaliki di rumahnya.
Saya bertanya lagi kepada Syeikh Habib, di mana saya akan menginap?
Syeikh Habib menyatakan bahawa saya akan menjadi tetamu kepada Habib Ali Zainal Abidin Al-Jufri dan akan tinggal bersama beliau di rumah beliau selama mana saya mahu.
Masyaallah……. Subhanallah, Alhamdulillah, Allah Akbar……….. RahmatnyaYa Allah
……Bersambung




























