Lapan Tahun Menunggu Tanpa Khabar Berita

2421

Oleh : M. Hailmey

KUALA NERUS – “Setiap kali musim tengkujuh menjengah, kami pasti tak lena tidur memikirkan air yang melimpah masuk kedalam rumah,”

Demikian rungutan penghuni tujuh buah rumah di Kampung Bukit Tok Beng apabila hujan lebat turun membasah bumi.

Seorang penduduk yang terlibat, Azmi Abu Bakar menceritakan, lebih kurang lapan tahun penduduk meminta bantuan longkang, namun tidak dipedulikan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pihak berwajib dengan pelbagai alasan.

“JKKK pernah berjanji akan menyelesaikan masalah ini tetapi sampai sekarang tiada jalan penyelesaian.

“Saya harap masalah kami ni dapat diselesaikan pihak berwajib secepat mungkin,” ujar beliau kesal, ketika diziarahi oleh Jawatankuasa PAS Seberang Takir pada Selasa 28 November.

Sehubungan itu, Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir, Ustaz Haji Zakaria Dagang menyeru kepada pihak berkuasa JKKK bertindak segera.

Apatah lagi, katanya, wakil rakyat DUN tersebut sendiri ialah juga Menteri Besar (MB) Terengganu, yang sepatutnya dapat mengatasi masalah berkenaan, yang sangat ‘kecil’ berbanding projek mega jambatan ‘Drawbridge’ dan ‘Flyover’.

“kalau nak banding dengan projek mega lain, masalah ni ‘kecik peh’……takkan MB yang juga ADUN Seberang Takir tak boleh nak selesai,” tegasnya.

Beliau yang turut sama dalam ziarah itu, menghulurkan bantuan segera kepada penduduk tersebut bagi meringankan sedikit beban kehidupan.

Katanya, pihak PAS MTD Seberang Takir sangat bersimpati dengan nasib penduduk yang menjadi mangsa akibat penambakan tanah bagi projek-projek rumah di sekitarnya.