Lantik Penasihat Agama MB Terengganu Bertepatan Dengan Ilmu Dan Ketokohan

11499

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Pelantikan Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek sebagai Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu bertepatan dengan ilmu dan ketokohan beliau dalam ilmu Al-quran dan As-sunnah.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Che Alias Abd Hamid berkata, beliau yang sebelum ini sudah menjadi kebanggaan kepada seluruh warga Kemaman.

“Orang Kemaman sangat menyambut baik dan berbesar hati dengan perlantikan beliau, kita merasakan perhargaan ini bukan sahaja kepada Ustaz Nik Muhammad Nasri tetapi juga kepada PAS Kawasan Kemaman,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen kawasan Kemaman berkata demikian ketika ditemui di Felda Kertih 6, Ketengah Jaya, 5 Oktober.

Katanya, beliau mengambil kesempatan bagi pihak PAS Kawasan Kemaman serta ahli jawatankuasa merakamkan ucapan tahniah kepada Timbalan Yang Dipertua (TYDP) PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Nik Muhammad Nasri Bin Nik Malek atas perlantikan tersebut.

Tambahnya, Ustaz Nik Muhammad Nasri telah mengangkat sumpah memegang jawatan sebagai Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu pada 20 September lalu di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Beliau dilahirkan pada tahun 1967 mempunyai seorang isteri Julaiha Mohammad dan mempunyai tujuh orang anak yang sudah berkhidmat sebagai TYDP PAS kawasan Kemaman sejak 2011.

Ustaz Nik Muhammad Nasri adalah mantan Pensyarah Pengajian Islam, Terengganu Advanced Techical Institute (TATI) dan pada tahun 2008 beliau telah berhenti dalam perkidmatan tersebut.

Beliau mula mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Sultan Ismail, Kemaman, Terengganu pada tahun 1974- 1979, Sekolah Alam Shah, Ceras, Kuala Lumpur pada 1980 – 1984, Matrikulasi Sains UKM, Sekolah Menengah Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada tahun 1985 – 1987, Fakulti Sains Fizik Gunaan, UKM, Bangi (berhenti) pada tahun 1987 – 1988, Pondok Tuan Hj Ali Hj Musa, Kg Siliau, Rantau, N. Sembilan pada tahun 1988-1989, Pondok Ustaz Abd Latif, Pengkalan Hulu, Perak pada tahun 1989-1991, Pondok Kerandang (Tuan Guru Hj Najmuddin), Pondok Paku, Kerandang, Besut pada tahun 1991-1992.

Kemudian Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek yang juga merupakan seorang penceramah bebas melanjutkan pelajaran ke Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan dalam Bahasa Arab (BA Syariah) pada tahun 1992-1996, Universiti Al-Al-Bayt, Mafraq, Jordan (MA Syariah) pada tahun 1996-1999 dan selepas itu beliau meneruskan pelajaran dalam Diploma Pentadbiran Kehakiman Islam di Universiti Islam Antarabangsa pada tahun 2008.