KUALA TERENGGANU – Program inovatif yang dikenali sebagai “Laman Suri” memulakan inisiatif terbarunya dengan mengekalkan tradisi pertanian masyarakat tempatan menerusi penanaman cili di rumah.
Pengerusi Lajnah Pertanian Keterjaminan Makanan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim( LPK MASPI), Rohani Ramli berkata setiap peserta telah diberikan pelbagai peralatan dan bekalan untuk memulakan projek pertanian cili mereka sendiri.
“Ini termasuk enam anak pokok cili dan tiga beg baja untuk setiap individu, inisiatif ini bertujuan untuk memberi peluang kepada komuniti tempatan untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti pertanian dan meningkatkan kesedaran akan kepentingan pertanian lestari, ” jelasnya.
Rohani berkata demikian ketika ditemui di tapak program di Pertanian Bandar Batu Buruk, di sini pada 15 Februari.
Program kerjasama bersama LPK MASPI, Pejabat Pertanian Daerah Kuala Terengganu dan Pejabat Pertanian Negeri Terengganu menyaksikan penyertaan aktif dari 40 peserta, terdiri daripada 20 petani wanita dari DUN Wakaf Mempelam dan 20 dari DUN Bandar.
Menurutnya program berkenaan bertujuan untuk memberi sokongan kepada masyarakat tempatan dalam mengembangkan kebolehan pertanian mereka serta meningkatkan pendapatan sampingan.
“Dengan mewujudkan kesedaran tentang pertanian di kalangan masyarakat tempatan, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai individu, terutamanya wanita, untuk terlibat dalam aktiviti pertanian sebagai satu sumber pendapatan tambahan,” katanya lagi.
Tambahnya, menerusi usaha seperti Program Laman Suri, harapan akan terus tumbuh bahawa pertanian bukan sekadar profesi, tetapi juga merupakan sebahagian warisan budaya dan kelestarian sumber alam negara.
” Ianya dijangka membuka peluang kepada peserta untuk mempelajari kemahiran pertanian meningkatkan pendapatan keluarga mereka dan pada masa yang sama, mempromosikan kelestarian alam sekitar melalui amalan pertanian yang lebih lestari,” ujarnya.