Hukum Allah Semakin Terpinggir

227

MARANG – Keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayab Syariah (1) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah, seolah-olah hukum syarak yang sepatutnya menjadi panduan mutlak dalam pelaksanaan ajaran Allah, kini terasa semakin terpinggir di bawah bayang-bayang undang-undang ciptaan manusia yang bersifat sekular.

Ketua Muslimat PAS Terengganu, To’ Puan Zarani Othman berkata sebagai umat Islam yang sepatutnya tahu bahawa setiap kesalahan berupa perbuatan atau perilaku jahat, yang merosakkan ke atas tubuh, harta dan sebagainya dengan sengaja adalah jenayah dan mesti dihukum.

“Saya amat sedih dan kecewa dan paling kecewa apabila seseorang yang beragama Islam sendiri yang mencabar Enakmen Syariah Negeri Kelantan ini supaya dibatalkan dan tidak sah,” luahnya ketika dihubungi di sini semalam.

“Bagaimana hendak menjatuhkan hukuman apabila undang-undang jenayah itu dibatalkan dan tidak sah bagi pesalah yang melakukan perbuatan jenayah seperti liwat atau sumbang mahram di Negeri Kelantan?,” soalnya lagi.

Tambahan To’ Puan Zarani, kesannya amat membahayakan undang-undang jenayah Syariah di empat belas buah lagi negeri-negeri dalam Malaysia.

“Saya bersetuju dengan pandangan beberapa tokoh ulama dan pakar perlembagaan yang mencadangkan supaya pindaan Perlembagaan harus dilakukan segera,

” bagi mencegah mana-mana pihak yang mempertikaikan bidang kuasa perundangan negeri-negeri(DUN) dan Raja-Raja sebagai ketua dan penaung agama Islam.

“Oleh itu seluruh umat Islam perlu bersatu tanpa mengira perbezaan latar belakang politik dan mesti menjadikan keutamaan dalam memartabatkan perundangan Islam di Malaysia,” ujarnya lagi.