Lagi PRK Sekiranya ADUN Jawi Didapati Menyeleweng

893

Akhbar tempatan kelmarin melaporkan, Ketua Bahagaian DAP Nibong Tebal, Teh Hock Yong, menuduh Tan melakukan penyelewengan berhubung penajaan RM2,000 untuk sebuah pertubuhan amal tempatan.

Bagaimanapun, Tan menafikan dakwaan tersebut dan berkata beliau berharap parti itu akan menyiasat perkara itu secara saksama bagi membersihkan namanya.

Ekoran tuduhan tersebut, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri, Farizan Darus, untuk menyiasat perkara itu dan tindakan tegas akan diambil jika ada sebarang salah laku.

Dalam pada itu, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP turut mengarahkan Tan mengemukakan surat peletakan jawatan tidak bertarikh kepadanya.

Pengerusi DAP Negeri Chow Kon Yeow mengesahkan telah menerima surat tersebut dari Tan.

Chow berkata Lim mengarahkan Tan menyerahkan surat berkenaan bagi menunjukkan kerajaan negeri Pulau Pinang mengamalkan konsep Keupayaan, Ketelusan dan Akauntabiliti (CAT).

“Kami memohon surat peletakan jawatan tidak bertarikh itu bagi membuktikan bahawa kami adalah telus dan Tan juga telah mengemukakan surat itu kepada parti,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Negeri, yang turut dihadiri oleh Tan semalam.

Mengulas perkara tersebut Tan berkata beliau menyerahkan kepada parti untuk memutuskan nasibnya.

“Saya berbesar hati untuk mengemukakan surat peletakan jawatan tidak bertarikh kepada kepimpinan parti kerana parti mempunyai hak untuk bertindak terhadap rasuah,” katanya.

Sebelum itu, Bernama melaporkan, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini mememaparkan berita bahawa Teh mendakwa set televisyen dan pemain cakera padat yang dibekalkan oleh Tan sebagai tajaan hanya bernilai RM450 tetapi Tan telah mengemukakan tuntutan sebanyak RM2,000 dari pejabat daerah.

Perkara tersebut telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).