MELAKA – Penyatuan ummah antara PAS dan Umno perlu diterjemahkan melalui sokongan bersama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di DUN N.17 Bukit Katil.
Calon PAS bagi DUN N.17 Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif berkata, pertemuan yang berlangsung dalam suasana muhibah itu memperlihatkan kesepakatan semua pihak yang berkongsi satu niat dan matlamat, iaitu menyatukan ummah.
Menurutnya, kerjasama tersebut perlu diperkukuhkan dengan mengelakkan perpecahan undi antara penyokong PAS dan Umno khususnya ketika berdepan cabaran daripada pihak lawan.
.

“Melalui pilihan raya kali ini, PAS akan undi Umno, Umno akan undi PAS,” katanya ketika berucap dalam satu pertemuan bersama jentera dan penyokong di Bukit Katil, semalam.
Tambahnya, kekuatan lawan yang dilihat bukan calang-calang menuntut semua pihak bekerja lebih bersungguh-sungguh bagi memastikan peluang kemenangan tidak terjejas akibat perpecahan.
Dalam pada itu, Ridzuan berkata, beliau bukanlah individu asing di Bukit Katil kerana telah menetap di kawasan berkenaan sejak 2010 dan mempunyai hubungan dengan masyarakat setempat.

Katanya, beliau turut mempunyai pengalaman selama kira-kira 18 tahun dalam perkhidmatan awam di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, termasuk pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Kanan dan Ketua Bahagian Kesihatan Persekitaran.
Justeru itu, beliau berharap pengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan penglibatan dalam gerak kerja parti dapat dimanfaatkan untuk memikul amanah sebagai calon di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau merendah diri memohon sokongan semua pihak bagi memastikan kemenangan PN di DUN Bukit Katil pada PRN kali ini.








