Oleh: Fatimah Din
MARANG – Sekolah Menengah Agama (Tahfiz) Asy-Syatibi mencipta kejayaan membanggakan apabila menerima pengiktirafan sebagai Institusi Tahfiz Cemerlang berdasarkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) Tahun 2026 menerusi surat rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertarikh 27 Oktober lalu.
Setiausaha Lajnah Pendidikan dan Persekolahan Dar PAS Kawasan Marang, Ramli Mamat berkata, pengiktirafan itu membuktikan komitmen bersama dalam membudayakan kecemerlangan pendidikan tahfiz.
“Khususnya aspek tadbir urus, pengurusan kurikulum, hal ehwal murid serta pengurusan tenaga guru yang sistematik,” katanya ketika dihubungi kelmarin di sini.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga sekolah agar terus mengekalkan momentum kejayaan dengan memperkukuh budaya kualiti dan melaksanakan penambahbaikan berterusan selaras dengan harapan JAKIM terhadap pengurusan institusi tahfiz yang cemerlang.
“Pihak kami menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Lajnah Pendidikan dan Persekolahan Dar PAS Kawasan Marang, Ustaz Abdullah Suhaimi, serta seluruh warga Sekolah Menengah Agama (Tahfiz) Asy-Syatibi atas pencapaian bermakna yang mengharumkan nama institusi pendidikan tahfiz di Marang,” ujarnya.
Beliau berharap pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk Asy-Syatibi terus melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak dan berkualiti, di samping mendoakan agar segala usaha murni semua pihak mendapat keberkatan serta ganjaran terbaik daripada Allah SWT.








