Oleh: Fatimah Din
MARANG – Al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca dan dilagukan, sebaliknya merupakan mukjizat agung kurniaan Allah SWT yang wajib difahami, ditadabbur dan diamalkan sebagai panduan dalam setiap aspek kehidupan manusia.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Haji Mohd Nor Hamzah berkata, al-Quran merupakan petunjuk daripada Allah SWT yang membimbing manusia agar sentiasa berada di landasan kehidupan yang benar serta tidak tersasar daripada syariat-Nya.
“Umat Islam perlu menjadikan al-Quran sebagai teman kehidupan, bukan hanya mendekatinya pada waktu tertentu, tetapi menghayati setiap ajarannya dalam membentuk keperibadian, memperkukuh keimanan dan mendepani cabaran kehidupan.
“Saya mengajak masyarakat mendekati al-Quran bukan sekadar melalui pembacaan, malah dengan memahami, mentadabbur dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian,” serunya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan berucap merasmikan program Menelusuri Ibrah Qurani Parlimen Marang di Masjid Surau Haji Yaakob, Bukit Payong, pada 29 Oktober lalu.

Program tersebut menghimpunkan seramai 302 peserta terdiri daripada pelajar dan guru Institut Quran Terengganu, pelajar Maahad Tahfiz Al-Azhar, pelajar Madrasah Darul Iman serta orang awam dalam usaha menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran.
Pengisian program turut diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh Sheikh Bilal Al-Hossayny dan Ustaz Abdul Hadi Che Abdul Halim yang membawa para peserta menghayati keindahan kalam Allah SWT.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Hulu Terengganu, Ustaz Kamaruzaman Abdullah berkata, al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, sebaliknya perlu dijadikan panduan kehidupan, manakala zikir dan munajat merupakan jalan mendidik hati agar sentiasa tenang ketika berhadapan ujian.
Beliau turut menegaskan bahawa ketenangan sebenar bagi orang beriman lahir daripada hubungan yang erat dengan Allah SWT, khususnya melalui zikir, istighfar dan munajat pada malam hari ketika insan lain sedang lena dibuai tidur.
“Orang beriman akan memperoleh ketenangan melalui zikir kepada Allah, lebih-lebih lagi ketika bangun bermunajat pada tengah malam, mengalirkan air mata mengharapkan keampunan dan rahmat-Nya,” katanya.








