Kunjungi Madinah Ramadan Beramai-ramai

3446

KUALA TERENGGANU – Muslimat Muda PAS (Ameerah) Negeri Terengganu menyeru dan mengalu-alukan seluruh rakyat supaya hadir beramai-ramai mengunjungi Madinah Ramadhan yang kini sedang berlangsung di Dataran Syahbandar.

Ketuanya, Hajah Zuraida Md Noor berkata, pada hari-hari terakhir dalam bulan Ramadhan ini marilah kita menghidupkannya dengan mengisi aktiviti yang bermanfaat agar peluang keemasan ini tidak terlepas begitu sahaja.

“Madinah Ramadhan menyediakan juadah berbuka puasa dan ‘moreh’ secara percuma dan pengunjung dapat menunaikan solat terawih di tapak program,

“serta dapat mendengar tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh para ustaz yang hebat di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai program Madinah Ramadhan pada Khamis, 7 Jun.

Katanya, program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu yang di adakan pada 1 hingga 14 Jun memberi manfaat yang besar kepada rakyat terutama para pengunjung dan peniaga di bazar Ramadhan.

“Ameerah turut menyumbang tenaga sebagai sukarelawan sepanjang program berlangsung,

“dan kami juga berperanan untuk memastikan kebersihan di kawasan program demi keselesaan pengunjung,” ujarnya.

Menurut Zuraida lagi, seramai 25 hingga 30 orang Ameerah yang akan bertugas setiap hari bermula 5.00 petang sehingga 10.30 malam.