Kuarters Guru Terbiar; Kerajaan BN Diminta Beri Penjelasan

4183

MARANG – Kerajaan Barisan Nasional (BN) diminta menjelaskan, mengapa dua blok empat tingkat kuarters guru tidak diduduki, terbiar dan menjadi sarang aktiviti tidak sihat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong Ustaz Mohd Nor berkata, ia adalah satu pembaziran yang nyata oleh kerajaan.

“saya difahamkan, kuarters ini telah terbiar sejak beberapa tahun yang lalu, ia sangat menyedihkan kerana bangunannya masih elok tetapi tidak diselenggara oleh kerajaan,

“saya anggarkan tidak kurang RM4 juta wang rakyat digunakan untuk membina dan membangunkan kuarters ini……yang nyata ia kini menjadi sarang aktiviti negatif termasuk penagihan dadah,” ujarnya.

Beliau bekata demikian ketika ditemui selepas melawat kawasan tersebut yang terletak di belakang Sekoah Rendah Kedai Buluh dekat sini pada Rabu 27 November.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak yang bertanggungjawab Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri dan Menteri Pelajaran agar menjelaskan kepada rakyat, mengapa ia berlaku demikian.

“saya pohon Exco di bawah pimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman atau beliau sendiri yang pernah menjawat jawatan itu membuat penjelasan,

“ramai rakyat yang masih tidak memiliki tanah dan rumah sedangkan kuarters ini terbiar begitu sahaja,” kata beliau.

Beliau menyelar sikap kerajaan yang sering melaksanakan sesuatu projek tanpa mengambil kira kepentingan sebenar dan keperluannya untuk rakyat.

Katanya, dua blok bangunan tersebut adalah satu bukti bahawa banyak projek pembangunan yang dibina adalah kerana kepentingan pihak tertentu dan bukannya untuk memajukan masyarakat.

“banyak lagi cantoh pembangunan pendidikan yang tidak diteliti contohnya Sekolah Menengah Alor Limbat yang akhirnya terpaksa dirobohkan kerana tanah mendap,

“lihat Taman Ilmu di Besut yang telah membelanjakan ratusan juta ringgit tetapi menjadi semak samun tanpa hala tuju yang jelas,” tambahnya.