Kilang Getah Chalok Barat Tutup ; Felda, FGV Perlu Jelaskan

5907

SETIU – Felda dan Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV) dituntut memberi penjelasan mengapa kilang getah yang sudah beroperasi selama 32 tahun di Felda Chalok telah di tutup.

Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat Naraza Muda berkata penutupan kilang getah itu sejak tahun 2014 menyebabkan lebih 80 kakitangannya yang merupakan penduduk tempatan hilang pekerjaan.

Katanya, ia adalah satu-satunya kilang getah milik Felda yang ditubuhkan sejak tahun 1983 dan hanya sanya yang terdapat di Terengganu.

Tinjauan yang dibuat ke lokasi tapak kilang tersebut mendapati kerja-kerja melerai kerangka struktur kilang itu sedang giat dijalankan oleh pihak kontraktornya.

Malah, menurut beliau, kilang berharga jutaan ringgit itu akhirnya dijual dengan harga RM200,000.00 bagi kos pembersihan tapaknya.

Justeru itu, Naraza yang juga Pengerusi Generasi Baharu Felda (Generasi) Terengganu menuntut penjelasan pihak FGV mengenai penutupkan kilang tersebut.

Ini kerana, katanya meski pun Felda Chalok Barat itu telah dikelilingi dengan ladang kelapa sawit tetapi masih ramai penduduk di beberapa buah kampung sekitarnya menanam getah.

“Keputusan pihak FGV menutup kilang getah yang berusia 32 tahun ini perlukan penjelasan. Walau pun, Felda Chalok Barat kini telah dipenuhi dengan ladang kelapa sawit tetapi masih banyak kampung-kampung berhampir dengan Felda Chalok Barat ini menanam pokok getah.

“Apakah kewajarannya kilang ini ditutup? Apakah industri penanaman getah negara mengalami zaman suram dan gelap?

“Apatah lagi melibatkan kilang FGV. Kami (NGO Generasi) minta pihak FGV memberi satu penjelasan yang munasabah dan menyakinkan kita kenapa kilang ini ditutup,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan di lokasi tapak kilang getah itu di Felda Chalok Barat, Permaisuri, Setiu kira-kira 60 Kilometer dari Kuala Terengganu, 26 Januari lalu.|

Sehubungan itu seorang bekas kakitangan kilang tersebut berkata, beberapa alasan diberikan oleh pihak FGV.

“Alasan yang pihak FGV berikan pertama, kos transport dari Terengganu ke Port Klang (Kuala Lumpur) tinggi kerana jauh lokasinya.

“Kedua, bekalan bahan mentah sukar untuk diperolehi memandangkan persekitaran pertanian (Chalok Barat) majoriti ditanam dengan kelapa sawit.

“Dan ketiga, terlalu sukar untuk pihak FGV memperolehi keuntungan dari hasil getah seperti yang dirancangkan,” ujarnya yang enggan disebut nama.