Ceiba Speciosa : Antara Ketelusan Dan Kerakusan

2996

Sejak kelmarin, berita yang ditularkan banyak pihak tentang pokok mewah yang diletakkan di Bandar Baharu Kuala Nerus. Menurut laporan Terengganu Times, ia adalah sumbangan korporat sebagai ikon mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus. Jumlah harga yang disebut umum adalah sejumlah RM180 ribu. Malahan menurut Terengganu Times, berasaskan usia dan asal pokok ini, sepatutnya jumlahnya melebihi dari RM180 ribu.

2. Dalam aspek ketelusan, orang awam tidak mudah untuk mendapatkan maklumat sebenar adakah ianya dibeli atau ianya dihadiahkan oleh syarikat korporat. Tidak wajar meminta bukti daripada orang awam yang sangat terhad untuk mendapatkan semua dokumen luar biasa ini. Baiklah, kita lupakan seketika, ia bukan dibeli pihak kerajaan dan cuba fokus kalaulah benar pokok ini sumbangan syarikat korporat.

3. Sebagai sebuah kerajaan yang mendakwa telus dan berintegriti, apa salahnya pihak kerajaan umumkan syarikat manakah yang telah menyumbang pokok ini sebagaimana didakwa? Jika benar syarikat berkenaan telah menyumbang, pegawai manakah yang telah menerima secara rasmi sumbangan korporat ini?

4. Dalam aspek yang lain, Pekeliling Garis Panduan Pemberian dan Penerimaan Hadiah Di Dalam Perkhidmatan Awam, (Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3, Tahun 1998) perlu diteliti. Begitu juga penelitian terhadap Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 terhadap unsur-unsur sumbangan syarikat korporat ini.

5. Dalam suasana hampir kebanyakan syarikat korporat memperkenalkan polisi “No Gift Policy”, pihak kerajaan pula mengabaikan aspek penting yang boleh mengundang rasuah dan ketidaktelusan.

6. Secara telus, pihak berkuasa perlu isytiharkan siapakah syarikat korporat yang menyumbang pokok bernilai tinggi ini? Siapakah pula yang telah meluluskan pokok Ceiba Speciosa ini ditanam di tapak Bandar Baharu Kuala Nerus? Lebih dibimbangi kelak, keputusan pemimpin kerajaan atau ahli politik dibebankan ke atas bahu penjawat awam!

7. Dalam aspek kerakusan, Bandar Baharu Kuala Nerus dibangunkan dalam tempoh empat tahun dengan kaedah pembayaran yang disebut sebagai ‘Bayaran Berjadual Dengan Had”. Kos keseluruhan sebanyak RM600 juta dan dengan kaedah bayaran seperti ini akan mencecah RM700 juta. Mengikut komitmen, bermula 2016 pembayaran akan dibuat kepada syarikat pemaju sebanyak RM70 juta dalam tempoh 10 tahun. Dijangka 2025 akan dapat diselesaikan jumlah RM700 juta untuk pihak pemaju. Meskipun demikian, Bajet 2017 untuk Bandar Baharu Kuala Nerus diperuntukkan sebanyak RM90 juta berbanding komitmen tahunan RM70 jua setahun selama 10 tahun (Rujuk : P02, Kod Butiran Projek 16940, Bajet 2017). Kami pernah persoalkan, signifikan kenaikan bajet RM20juta berbanding komitmen asal RM70juta setiap tahun. Sebagaimana kami pernah persoalkan kekuatan syarikat pemaju yang telah diberikan kepercayaan untuk membangunkan Bandar Baharu Kuala Nerus ini. Justeru, Bandar Baharu Kuala Nerus dibina dalam keadaan berhutang oleh pihak kerajaan negeri.

8. Kerakusan juga apabila begitu mudah untuk meletakkan pokok Ceiba Speciosa sebagai mercu tanda daerah Kuala Nerus. Apakah tidak ada mercu tanda tempatan untuk dinobatkan sebagai mercu tanda daerah ini? Pihak kerajaan perlu bersuara dalam hal ini. Usah mendiamkan diri membiarkan rakyat tertanya-tanya.

“BERTEKAD MELEBAR MUAFAKAT”

“INILAH PENYELESAIAN KITA”

Yang benar,

HISHAMUDDIN BIN ABDUL KARIM
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh