Kerajaan Sedia Lantik Wakil Non-Muslim

14789

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu sedia mempertimbangkan akan melantik wakil kaum non-muslim di kalangan kaum Cina dan India bagi mewakili masyarakat minoriti di negeri ini.

Menteri Besarnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, apabila tiba masa yang sesuai kerajaan akan umumkan perlantikan kaum non-muslim itu.

Menurutnya, segala perancangan ke arah itu proses perlantikan pegawai-pegawai khas berkenaan dalam tindakan kerajaan negeri.

“Perkara (perlantikan) itu sedang dalam pertimbangan dan memang ada pegawai-pegawai yang dilantik. Kita sedang menimbang untuk wakil kaum Tionghua dan wakil kaum India.

“Sebenarnya, perlantikan untuk pegawai-pegawai (khas) bangsa Melayu dan wanita juga dalam proses. Jadi bila sampai waktunya kita (kerajaan) akan umumkan,” ujarnya kepada wakil media.

Beliau berkata demikian selepas selesai Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama kaum non-Muslim dari warga Tionghua (Cina) dan India, di Kampung Cina, Kuala Terengganu, hari ini.

Dr Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa kepentingan kaum lain khususnya di Terengganu adalah sama penting antara Melayu, Cina dan India.

Justeru, katanya masyarakat non-muslim juga perlu diwakili dari kalangan kaum mereka sendiri.

“Ada (wakil) sebab mereka juga adalah komponen yang penting dalam negeri kita dan tentulah mereka perlu diwakili dari kalangan mereka.

“Ada yang bertanggungjawab secara langsung dalam perkara ini iaitu kaum India dan kaum Tionghua,” jelasnya.

Menurut Dr Ahmad Samsuri lagi, wakil rakyat PAS di peringkat Dun (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen sentiasa mengambil ‘cakna’ menyelesaikan masalah rakyat.

“Wakil rakyat kita (PAS) di Dun Bandar, Ahmad Shah Mohamed sentiasa berhubung dengan mereka. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim juga ada berhubung dengan mereka.

“Kita sangat prihatin dan sangat mengambil perhatian serta perjalanan untuk selesaikan masalah rakyat, dan dari hari ke hari sentiasa ada (aduan) masalah,” jelasnya.

Katanya, antara permasalahan yang sentiasa diterima aduan adalah mengenai perniagaan, tapak perniagaan, pasar pagi Kampung Tiong, masalah longkang tersumbat dan kebersihan.