Kerajaan Pusat Tidak Akan Memulangkan Baki Royalti Kepada Rakyat Terengganu?

1587

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang Majlis Bandaraya Kuala Terengganu yang sekaligus menjadi majlis kempen Barisan Nasional (BN) menghadapi PRK Kuala Terengganu.

http://www.buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2009/04/roayltitidakakanpulang.jpgPada Majlis yang sama Najib turut berkata, kerajaan pada prinsipnya meluluskan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (Terengganu Investment Authority) untuk mengendalikan pelaburan royalti minyak itu dengan dana permulaan RM10 bilion.

Najib berkata tujuan TIA adalah untuk menjamin pendapatan kerajaan negeri Terengganu tidak susut walaupun hasil bahan api itu sudah tiada kelak.

Beliau berkata TIA yang merupakan cadangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, bakal diurus oleh para profesional.

Badan itu akan menggunakan pendapatan daripada hasil royalti minyak untuk membuat pelaburan di dalam dan luar negara menerusi pasaran bon bagi menjamin kelangsungan pendapatan negeri pada masa depan, katanya.


Tiga bulan selepas itu, pada 15 April, 2009, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said berkata dari tahun 2000 hingga tahun 2008 Kerajaan Terengganu hanya menerima wang royalti petroleum sebanyak RM6.27 bilion daripada kerajaan pusat.

Jumlah wang yang sepatutnya diterima oleh kerajaan Terengganu dalam tempoh tersebut adalah RM15.847 bilion.

Ahmad berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Wakaf Mempelam, Hj Mohd Abdul Wahid Endut dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dengan kenyataan Ahmad itu bagi pihak negeri Terengganu, bermakna Petronas masih berhutang wang royalti kepada kerajaan dan rakyat Terengganu sebanyak hampir RM10 bilion iaitu RM9.577 bilion.

Jumlah tersebut sama banyaknya dengan dana permulaan yang disebut oleh Najib akan digunakan oleh TIA.

Maka, dengan itu, wang royalti berjumlah RM10 bilion yang mungkin telah dibayar oleh Petronas kepada kerajaan persekutuan, tetapi belum diserahkan kepada negeri Terengganu, mungkin tidak akan di bayar langsung.

Sebab itu, sehingga kini, wang royalti hanya mengalir sedikit-sedikit kepada kerajaan negeri Terengganu, sedangkan jumlah yang masih belum dilunaskan begitu besar.

TIA Kepentingan Rakyat Terengganu

TIA memang pada asalnya adalah cadangan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang kebetulan menjadi Yang DiPertuan Agong masakini.

Ia cetusan hati seorang raja yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan dan keharmonian rakyat negeri di bawah naungannya.

Berdasarkan keprihatinan Sultan Mizan, sepatutnya TIA adalah satu badan yang ditubuhkan di bawah undang-undang tubuh kerajaan negeri Terengganu.

Ia sepatutnya dibawa dan dicadangkan ke dalam Sidang Dewan Undangan Negeri dan diputuskan dalam Dewan tersebut.

Ia adalah kerana TIA melibatkan kepentingan rakyat Terengganu, bukan kepentingan kerajaan pusat atau kepentingan nasional.

Namun, Najib telah ‘menculik’ idea tersebut, dan membawa cadangan penubuhan TIA ke dalam kabinet kerajaan pusat.

Sedangkan kerajaan pusat tidak mewakili hasrat rakyat Terengganu.

Sebelum ini, dalam kabinet Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi terdapat dua menteri dari negeri Terengganu, yang menjadi ‘suara’ rakyat Terengganu dalam kabinet kerajaan pusat.

Apabila Najib menajdi Perdana Menteri, tinggal hanya seorang sahaja menteri yang mewakili rakyat Terengganu, itu pun hanya mewakili potfolio yang kurang penting dari sudut ekonomi dan pembangunan.

Perebutan Wang Royalti Minyak

Tahun lalu, pada pada 19 April 2008, tidak sampai sebulan selepas Ahmad Said dilantik sebagai Menteri Besar, beliau menuntut wang royalti dikembalikan dan diserahkan sepenuhnya kepada negeri Terengganu

Wang royalti minyak dihentikan pembayarannya kepada negeri Terengganu sejak tahun 2000 sewaktu negeri Terengganu ditadbir oleh PAS.

Wang tersebut ‘dirompak’ oleh kerajaan pusat setelah pemimpin UMNO Terengganu mengusulkan dalam Perhimpunan Agong UMNO, supaya ia tidak dibayar kepada kerajaan PAS yang sedang memerintah pada waktu itu.

Tindakan Ahmad Said menuntut kembali wang royalti banyak menimbulkan kesusahan kepada UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) pusat, selain mendedahkan ‘tembelang’ bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pelbagai rahsia penyelewengan dan salahguna kuasa terbongkar ekoran tindakan Ahmad Said menuntut supaya wang royalti dikembalikan ke pangkuan negeri dan rakyat Terengganu.

Sejak wang royalti dirompak dan diuruskan tidak mengikut perjanjian dibawah akta petroleum, ia disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dengan nama wang ehsan.

Berbilion ringgit wang kerajaan negeri dan rakyat negeri Terengganu dicurahkan melalui projek-projek politik bertujuan menguatkan UMNO Terengganu dalam mencapai cita-cita untuk menawan kembali tampuk pemerintahan.

Kebanyakkan projek yang dilaksanakan di negeri Terengganu datang dari pusat dan tidak berdasarkan kehendak dan keperluan rakyat Terengganu.

Ia datang dari Abdullah selaku Pengerusi UMNO Terengganu dan dilaksanakan oleh Idris selaku Timbalan Pengerusi.

 Pakatan antara Idris dan Abdullah ‘menggasak’ wang royalti diteruskan apabila UMNO/BN merampas kembali negeri Terengganu pada tahun 2004.

Kedua-dua pemimpin UMNO tersebut membelanjakan wang royalti sewenang-wenangnya dengan nama ‘Dana Khas Kerajaan Persekutuan’.

Kenyataan-kenyataan Ahmad dan Idris sendiri, berkaitan penggunaan wang tersebut membuktikan, wang yang sepatutnya digunakan meningkatkan taraf hidup rakyat Terengganu itu, dibelanjakan sesuka hati.

“Buat jalan dalam hutan dengan kos hingga RM50 juta hingga RM60 juta. Kita hanya mengetahui tentang projek itu apabila ia mempunyai masalah seperti tanah ditarik balik dan sebagainya.

“Ini yang menjadi masalah… sebab terlalu banyak pihak yang menguruskan wang royalti kerana ia adalah wang ehsan. Mereka menggunakan wang kita, jadi apabila kementerian yang buat ia adalah berasaskan kepentingan kementerian semata-mata tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak rakyat Terengganu.


“Ini menimbulkan masalah kepada kerajaan negeri. Saya cakap terus terang ada sesetengah projek yang saya sendiri secara peribadi tidak berpuas hati kerana dengan kos yang tinggi, tidak memberi keutamaan kepada rakyat sebaliknya orang lain tentukan bukan kita, sedangkan kita tuan rumah,” kata Ahmad ketika beliau menuntut semula wang royalti dikembalikan kepangkuan negeri Terengganu.

Setelah pendedahan tentang perbelanjaan wang royalti terbongkar di parlimen, Idris yang berkuasa menguruskan wang tersebut bersama Abdullah berkata “Beliau tidak tahu apa-apa”.

Pada 15 Mei, tahun lalu, Akhbar Sinar Harian melaporkan kenyataan Idris yang mengatakan beliau tidak tahu mengenai jumlah sebenar wang yang sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri Terengganu.

Giliran Najib dan Hishamudin

Sepuluh hari selepas Najib dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke Enam, meletup kemelut politik UMNO Terengganu.

Kemuncak pertelagahan kumpulan Ahmad dan Idris menyaksikan pada lewat tengah malam, 14 April, tiga wakil rakyat (ADUN) UMNO/BN dari kumpulan Idris membuat laporan polis, mengadu mereka telah diugut bunuh melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh berkata ugutan tersebut adalah berkait dengan isu ‘undi tidak percaya’ terhadap Ahmad Said, Menteri Besar Negeri Terengganu.

Ia merupakan tindakan balas terhadap kenyataan Ahmad yang mahu memecat mana-mana ADUN BN yang membawa usul tersebut ke persidangan DUN, seminggu sebelum itu.

Keesokkan harinya, kumpulan ‘10 budak hitam’ sepuluh ADUN bertindak memboikot persidangan DUN Terengganu dan memberikan tekanan kepada Ahmad supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Mereka sebenarnya adalah kumpulan yang sama yang membantah pelantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar setahun yang lalu.

Dato’ Rosol yang mengetuai 22 ADUN menghantar memorandum ke istana Terengganu membantah pelantikan Ahmad, mengetuai sidang media mengisytiharkan perang sekali lagi terhadap Ahmad.

Drama politik UMNO Terengganu pada kali ini tidak kurang hebatnya dari siri-siri panas Ahmad Said lawan Idris Jusoh sepanjang tahun 2008.

Namun ‘plot’ pada kali ini sedikit janggal, seumpama ianya telah diskripkan terlebih dahulu.

Kemunculan seorang pelakun tambahan, bekas Setiausaha politik Idris Jusoh, Dato’ Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir pada lewat tengah malam di balai polis Kuala Terengganu menimbulkan seribu pertanyaan.

Sehingga kini, setelah dua minggu berlalu, misteri penghantar SMS belum diselesaikan oleh pihak polis.

Tuduhan ADUN Permaisuri terhadap Setiausaha Sulit Kanan Ahmad Said yang didakwa sebagai penghantar ‘SMS ugut bunuh’ meleset sama sekali, mungkin menjadi satu adegan yang akan dipotong dari jalan cerita asal.

Namun apa yang menjadi satu kenyataan yang tidak pernah diduga adalah pelantikan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamudin sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Terengganu.

Samada ia adalah kebetulan atau satu lagi ‘konspirasi’, kemelut UMNO Terengganu telah membuka ruang kepada kerajaan pusat sekali lagi menguasai negeri Terengganu.

Ahmad tetap jadi Menteri Besar Terengganu, namun pengaruhnya dikalangan ahli UMNO, parti yang memerintah, kini dikurangkan kerana kuasanya sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri diambil oleh Hishamudin.

Suara politik Ahmad juga tidak akan sampai keperingkat pusat kerana Ahmad bukan ahli Majlis Tertinggi UMNO yang berkuasa membincangkan politik dan halatuju sesebuah negeri.

Najib perlukan RM10 bilion untuk menubuhkan TIA yang akan menjadi satu ‘benchmark’ baru serta ‘lubuk duit’ bagi projek-projek yang tidak dipastikan lagi.

Siapakah yang akan menghalang Najib menggunakan wang royalti minyak Terengganu sewenang-wenangnya apabila beliau melantik Hishamudin, sepupunya, menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu ??