Kerajaan PAS Terengganu; Pertama Elok, Kedua Pandai

4652

Oleh : DMS/MNA

Kerajaan Negeri Terengganu sekarang ini sedang berusaha keras melaksanakan sepenuhnya manisfesto yang mereka janjikan dahulu sebelum PRU. Sebagai tanggungjawab kepada apa yang telah disebutkan, maka segala usaha ke arah itu, digembelingkan bagai memberikan hasil yang terbaik kepada rakyat, tanpa mengira latar belakang mereka.

Inilah amanah yang wajib ke atas barisan kerajaan sekarang kerana tanggungjawab ini berjalan selagi berkuasa.
Dalam masa kerajaan meneliti dan berusaha melaksanakan semua janji-janji ini, pastinya ada beberapa lompang yang tidak dapat tidak, sebagai manusia, kita kena mengakui kelemahan itu.

Pesan rasulullah, semua anak Adam berdosa dan yang paling baik ialah bertaubat atau kita kata membaiki kelemahan diri. Ini jelas mengenepikan keegoan kita, walaupun kita berjawatan besar, mempunyai undi yang banyak, namun, kelemahan mesti diperbetulkan.

Jelas sikap merendah diri ini ditunjukkan oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membuat program perjumpaan dan dialog dengan petugas-petugas PAS Kawasan Setiu.

Ketika sesi soal jawab, seorang peserta memberikan pandangan kerana Setiu adalah kawasan pertanian dan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, pengurniaan tanah oleh kerajaan negeri kepada rakyat perlu dilihat dengan lebih meluas.

Sebagai contoh, jika rakyat itu seorang petani, memberikan tanah lot rumah, tidaklah sepenting mana berbanding tapak petanian. Tetapi jika diberikan tanah pertanian sahaja, di mana mereka mahu tinggal? Memandang cadangan itu sebagai satu yang masuk akal atas dasar keperluan, Dr Samsuri berjanji akan mengubah hal itu, tertakluk kepada syarat, untuk mereka yang layak.

Walaupun sudah dibincangkan dalam mesyuarat Exco, tetapi belum diputuskan. Ia sudah dilaksanakan ketika PAS memerintah dahulu, tetapi dipinda oleh kerajaan selepas itu. Maka gembiralah 1000 orang para petani yang mendengar sendiri jawapan dari MB itu, hanya menunggu keputusan mesyuarat untuk ia dipinda balik asal.

Malah kepada yang telah diluluskan mendapat tanah pada tahun 1999-2004 dahulu yang kemudiannya dirampas kembali, berita gembira juga buat mereka kerana, kerajaan akan segera menggantikan kembali kehilangan tanah mereka dengan cara yang tidak sepatutnya itu. Mungkin hanya lokasinya berbeza. Janji ini dipegang walau sosok yang memerintah sekarang sudah bertukar, tetapi dasar Islamnya tetap sama.

Selain itu juga, Setiu berkemungkinan akan menerima projek yang berasaskan pendidikan seperti universiti dan lain-lain di kawasan mereka. Walaupun itu bukan janji, tetapi perbincangan ke arah itu telah ada berdasarkan ECER yang dipengerusikan oleh MB, yang dilantik oleh PM, masih meneruskan mesyuarat dengan agensi-agensi kerajaan Pusat.

Ecer mempunyai bajet mereka sendiri, maka peluang pembangunan adalah terbuka. Rakyat Setiu usah terlalu mengharap, tetapi jika berpeluang, pasti akan dilaksanakan dengan jayanya.

InsyaAllah Setiu bukan lagi watak miskin yang sering dibawakan mereka ketika duduk di bawah kerajaan dahulu. Banyak peluang dan ruang yang boleh digali dan dipersembahkan menjadi sebuah hiasan indah bagi negeri Terengganu. Ianya bermula dari kesungguhan kepala negeri. Jika hendak seribu daya dan rakyat Setiu juga mesti menguatkan daya usaha mereka membantu.

Pemimpin yang berakhlak Islam dan cerdik, akan sentiasa lurus memerintah negeri sebagaimana tinggalan Presiden PAS dahulu. Kalau memilih tempat mandi, pertama teluk, kedua pantai. Kalau memilih pemimpin negeri, pertama elok, kedua pandai. InsyaAllah inilah ciri-ciri yang kita ada pada pimpinan PAS.