Kerajaan Cadang Lantik Pakar

5602

Oleh : Suhaimi Taib

Kuala Terengganu – Kerajaan Terengganu bercadang melantik kumpulan pakar termasuk dalam bidang pembinaan dan pendidikan untuk memberi nasihat serta panduan dalam merangka strategi pemulihan projek terbengkalai Taman Ilmu di Tembila Besut.

Menteri Besar, Dr  Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Negeri bersetuju pada dasarnya untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih bangunan dan infrastruktur di Taman Ilmu itu secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan Kerajaan Negeri serta menawarkan penggunaan kemudahan di taman itu kepada pihak luar yang berminat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Seberang Takir,  Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Undangan Negeri (DUN) Ke 14 di sini pada 3 Julai.

Menjawab soalan lain Menteri Besar yang juga ADUN Rhu Rendang berkata,  seramai 988 orang kakitangan lantikan politik dan kontrak perkhidmatan ditamatkan kontrak di semua Agensi Kerajaan Negeri sehingga 30 Jun lalu.

Manakala kakitangan baharu dilantik seramai 33 orang.

Menurutnya,  pegawai ‘Contract Of Service (Ad-Hoc)’ yang ditamatkan perkhidmatan ialah seramai 978 orang manakala pegawai ‘Contract Of Service’ seramai 10 orang.

Pegawai yang baharu dilantik  termasuk ‘Contract Of Service (Ad-Hoc) ‘ 17 orang manakala ‘Contract Of Service’ (16 orang).