Keputusan Mahkamah Rayuan Mencabar Kedaulatan Undang-undang Islam

1585

Dewan Ulamak PAS menegaskan, keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah ( Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak berperlembagaan pada 7 November 2014 menjadi satu cabaran terhadap kedudukan undang-undang Islam di negara ini.

Menurut Ketua Penerangannya, Dr Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali, penghakiman tersebut menimbulkan persoalan sejauh mana kedudukan Islam di dalam negara ini terpelihara dan berdaulat sedangkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menegaskan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Peruntukan Islam agama Persekutuan tersebut tidak harus ditafsir menurut kacamata penjajah yang mentafsirkan Islam hanya sebagai amalan upacara keagamaan semata-mata,

“tetapi mesti ditafsirkan sebagai Islam sebagai cara hidup dengan segala perundangannya adalah rujukan tertinggi negara ini dan mana-mana undang-undang yang berlawanan adalah terbatal.

“(ia) juga menimbulkan persoalan keabsahan dan kedaulatan undang-undang Syariah yang digubal di peringkat negeri dengan kuasa yang diperuntukkan oleh Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.”jelasnya dalam satu kenyataan.

sf_20141107_transgender_appeal_840_560_100Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga berkata, keputusan Mahkamah Rayuan ini juga dilihat tidak selaras dengan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa Mahkamah Tinggi Sivil tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Katanya perkara tersebut telah diperhalusi oleh Hakim Tan Sri Harun Hashim dalam kes Mohammed Habibullah bin Mahmood lwn Faridah binti Dato’ Talib [1992] 2 MLJ 793.

Oleh itu, kata beliau implikasi besar yang akan timbul selepas ini ialah apabila kes tersebut menjadi rujukan di Mahkamah pada masa depan.

“(ia) menggugat keabsahan undang-undang Syariah. Membuka ruang untuk lebih banyak pihak tampil mempertikaikan keabsahan undang-undang Syariah yang digubal di peringkat negeri.

“Membuka ruang untuk golongan yang melakukan amalan bercanggah dengan Islam berpesta kerana merasakan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan,”ujarnya lagi

Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menuntut Kerajaan Negeri Sembilan secara khusus menerusi Exco Agama dan Majlis Agama Islam Negeri mengambil proses perundangan yang wajar bersifat segera bagi menangani isu ini.

Beliau menambah, DUPP juga menuntut tindakan segera menurut lunas perundangan oleh pihak berwajib yang lain bagi menangani isu ini dengan penuh keprihatinan bermula dengan Kerajaan Persekutuan menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan JAKIM serta Exco-exco Agama Negeri dan Majlis-majlis Agama Islam Negeri selaku penasihat dalam hal ehwal agama Islam kepada Sultan/ Raja/ Yamtuan negeri masing-masing dan YDPA bagi negeri yang tidak mempunyai Raja.

“Para pengamal undang-undang beragama Islam juga perlu segera bangkit memanfaatkan kemampuan ilmu dan kemahiran guaman mereka di bidang ini bagi membantu pihak berwajib,

“memastikan kedaulatan undang-undang Islam di negara ini terpelihara. Ia merupakan satu jihad semasa pada hari ini,”katanya