Kepimpinan Kerajaan Baharu Akan Mengambil Tanggungjawab

4718

KEMAMAN – Kepimpinan kerajaan PAS yang baharu bertanggungjawab akan menyelesaikan masalah perkhidmatan pengangkutan bas bandar yang dikenali ‘Kemaman Shuttle’ yang ditamatkan sebaik sahaja kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional YB Haji Hanafiah Mat berkata, perkhidmatan bas tersebut yang dahulunya memberi manfaat kepada masyarakat.

“Saya memandang serius masalah pengangkutan awam di Bandar Chukai ini dan kepentingan rakyat perlu diambil berat lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan penduduk berpendapatan rendah dan sederhana,

“dan penduduk di sekitar Kemaman menghadapi kesulitan kerana tiada lagi perkhidmatan bas bandar di daerah selatan negeri ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas majlis kesyukuran sempena kemenangan PAS bagi DUN Chukai di Banggol Square.

Katanya, situasi ini telah menyukarkan rakyat yang hendak berurusan di bandar lebih-lebih lagi masyarakat luar bandar.

Oleh itu masalah ini telah menyentuh nurani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai dan kerajaan meminta supaya diberi sedikit masa untuk menangani masalah ini.

“Majlis kesyukuran tersebut telah dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat yang teruja dengan kemenangan PAS di DUN Chukai,

“dan juga sebagai meraikan para petugas parti yang bertungkus-lumus siang dan malam sepanjang kempen pilihan raya umum (PRU) ke-14 sehingga hari mengundi,”ujarnya.

Justeru, beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan, pengorbanan wang ringgit dan masa serta tenaga setiap ‘amilin’ demi melihat PAS kembali memerintah negeri Terengganu.