Kenapa Negara Umat Islam Mudah Melatah?

829

Oleh: Dr Azman Ibrahim

Banyak soalan yang masuk inbox bertanyakan hal Ulama Syiah yang dihukum mati di Saudi. Tentunya saya tak ada apa-apa ulasan kerana ini adalah soal undang-undang kehakiman sesebuah negara yang berdaulat dan Saudi mempunyai hak untuk melaksanakan undang-undang demi keamanan dan keselamatan negara mereka. Ulama Syiah ini pula dihukum setelah melalui proses perbicaraan di mahkamah. Didakwa dan diberi peluang untuk membela diri sebelum akhirnya hukuman diputuskan.

1032739481Saya tak melihat dia dihukum mati kerana dia syiah tetapi atas tindak-tanduknya yang diputuskan oleh Mahkamah Saudi sebagai mengancam keselamatan negara. Kalau orang sunni pun melakukan kesalahan yang sama, mereka juga akan berdepan dengan tuduhan yang sama di Saudi.

Kerana itu saya merasakan adalah tidak tepat tindakan mengapi-apikan sentimen sunni syiah dalam isu ini.
Kalau nak mainkan sentimen sunni syiah maka saya boleh menulis kisah yang panjang dari pengalaman nyata sahabat-sahabat sunni sepengajian di Iraq yang keluarga mereka dibunuh secara kejam oleh Militia Syiah Iraq selepas kejatuhan Saddam pada 2003. Dibunuh dan dizalimi tanpa dibicarakan. Bandar Fallujah sebuah Bandar Sunni di Iraq, dibumi hangus oleh Amerika dan disambung lagi tindakan pemusnahannya oleh kerajaan syiah Nuri al Maliki.

Saya juga tak bersetuju bila negara-negara Arab seperti Kuwait, Bahrain, Qatar, Oman, Djibouti dan Sudan berduyun-duyun memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran menyusuli tindakan Saudi. Hati kecil saya merasakan bahawa tindakan untuk memencilkan Iran tak lain tak bukan adalah kerana mengikut telunjuk kuasa Barat dan Amerika. Apa untungnya bagi dunia Islam dengan memencilkan Iran? Kita tahu bahawa Saudi, Kuwait, Bahrain, Qatar dan Oman adalah sekutu rapat US di rantau Timur Tengah.

20150919_Obama-and-Hassan-RohaniSepatutnya negara-negara Islam boleh menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul dengan cara sendiri. Banyak platform boleh digunakan samada OIC, Liga Arab dan Majlis Kerjasama Negara-Negara Arab Teluk.

AS dan Kuasa Barat memang sangat ingin dan sentiasa bekerja untuk melihat Rantau Teluk Parsi tempat simpanan emas hitam terbesar dunia sentiasa panas bergolak. Tangan-tangan rakus mereka akan menyambar setiap peluang yang ada demi kepentingan mereka sebagai bangsa penjajah yang sentiasa ingin menjajah dan menguasai orang lain. Negara-negara Arab dan Islam sepatutnya telah masak dengan segala permainan ini. Tapi tetap mereka merelakan diri mereka menjadi wayang kulit yang digerakkan oleh Tok Dalang di White House!

[Penulis ialah Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu]