Kenaikan Harga Minyak Menaikkan Suhu Kemarahan Rakyat

2592

Kenaikan harga minyak 40 sen dalam masa dua bulan sememangnya menaikkan suhu kemarahan rakyat kepada kerajaan BN. Pada Disember 2016 RON95 pada harga RM1.90 seliter dan sekarang Februari 2016 pada harga RM2.30 seliter.

Pada Oktober 2016 harga RON95 ialah RM1.80 dan pada September 2016 pada harga RM1.70. Ia bererti kenaikan sehingga 60 sen dalam masa lima bulan. RON95 berada pada harga paling rendah pada Mac 2016 iaitu RM1.60 sen seliter. Seterusnya ia menyaksikan kenaikan sehingga RM2.30 pada hari ini iaitu kenaikan 70 sen dalam masa sebelas bulan.

Sekiranya diandaikan golongan berpendapatan rendah menggunakan 150 liter minyak sebulan, ia bererti peningkatan kos hidup bulanan disebabkan harga minyak ialah menjangkau RM105 dalam masa sebelas bulan Mac 2016 – Februari 2017.

Ia membuktikan polisi apungan terkawal harga minyak tidak releven dan tidak menguntungkan rakyat. Kenaikan harga minyak dunia yang menguntungkan kerajaan Malaysia sebaliknya mencipta kerugian dan bebanan bagi rakyat.

Kenaikan harga minyak dunia sememangnya menjadi doa rakyat Malaysia agar pendapatan negara meningkat. Sepatutnya peningkatan pendapatan itu boleh membantu harga runcit kekal pada harga rendah yang tidak membebankan rakyat. Oleh kerana itulah, saya dan rakan-rakan daripada PAS mencadangkan polisi apungan bersekali dengan subsidi.

Mengimbau kembali sejarah, pada 1 Disember 2014, kerajaan memperkenalkan polisi baru dalam penentuan harga minyak runcit iaitu melalui kaedah apungan terkawal (managed float system) berdasarkan ‘Automatic Pricing Mechanism’ (APM). Ini beerti, purata perubahan kos produk akan menentukan harga minyak runcit bagi bulan berikutnya. Secara tidak langsung, harga minyak mentah dunia dan nilai matawang juga akan mempengaruhi naik turun harga minyak runcit di negara ini.

Dengan jangkaan peningkatan harga minyak dunia bermula Januari 2017 di atas komitmen negara OPEC dan non-OPEC untuk mengurangkan pengeluaran 1.8 juta barel setiap hari, maka, implikasinya ke atas harga minyak runcit di Malaysia begitu membimbangkan. Malah, peningkatan harga runcit minyak ketika ini sudah memberikan signal bebanan yang lebih berat sedang menanti.

Saya telah mencadangkan sebelum ini agar penetapan harga siling dan tambahan subsidi digabung-jalinkan dengan polisi sedia ada terutamanya ketika menghadapi ketidaktentuan harga minyak di pasaran dunia sepertimana yang ditekankan dalam beberapa kenyataan sebelum ini.

Mekanisma “tambahan” itu penting bagi menyerap peningkatan harga minyak runcit sehingga menambahkan bebanan kos sara hidup rakyat seperti yang berlaku beberapa bulan kebelakangan ini. Malah, dengan kedudukan matawang yang tidak menentu, cadangan tersebut seharusnya dipandang serius oleh kerajaan.

Sebaliknya, polisi dalam penentuan harga minyak runcit itu seolah-olah dijadikan benteng kerajaan untuk mencipta pelbagai alasan dengan kenaikan harga minyak runcit. Ia meng”halal”kan tindakan kerajaan memerah duit rakyat.

PAS begitu serius dan bimbang memerhatikan bebanan yang ditimpakan ke atas rakyat. Dengan kuasa membeli semakin melemah dan ‘real income’ yang semakin menguncup, keadaan ini cukup memeritkan kehidupan rakyat seharian. Sudah sampai masanya polisi penentuan harga minyak ini dianalisis dan ditambah baik oleh kerajaan sebelum kehidupan rakyat lebih parah dengan perlaksanaannya hari ini.

Apakah kerajaan mahu rakyat berdoa agar harga minyak dunia terus turun supaya mereka terus dapat menikmati harga minyak yang rendah sebagaimana cadangan seorang bekas menteri yang terlajak cerdik sebelum ini?

Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis 2hb Februari 2017