Kenaikan Harga Minyak, Gas dan Gula Menambah Keperitan Hidup Rakyat Terengganu

767

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2010/07/nelayankijal1.jpgKUALA TERENGGANU – Pemimpin PAS negeri Terengganu menyifatkan kenaikan harga bahan api utama, minyak dan gas serta gula yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak semalam akan menambahkan keperitan kepada kehidupan rakyat di negeri Terengganu.

Ia adalah merupakan satu bukti yang sangat jelas, bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak langsung prihatin dengan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat negeri ini.

(Gambar – Nelayan di Kampung Che Wan, Kijal mendirikan solat hajat kerana mengalami kekurangan lebih separuh hasil tangkapan, pendapatan mereka mnyusut dan ada pergi pagi dan pulang sebarang tangkapan. Bagaimanakah nasib mereka menghadapi bulan Ramadhan dan Ayawal dengan kenaikkan harga barangan terbaru!)

“Semasa rakyat sedang bersiap-siap untuk menghadapi bulan Ramadhan dan Syawal yang bakal tiba, kenaikan (harga) ini akan menjadi beban berganda kepada rakyat,”kata Bendahari PAS Terengganu, Haji Muhyidin Abdul Rashid

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Ustaz Wan Hassan Ramly berkata, kehidupan rakyat berpendapatan rendah akan menjadi lebih parah lagi kerana barangan yang diumumkan, yang terlibat dengan kenaikkan harga adalah merupakan barangan kegunaan harian rakyat.

“Ia cukup membebankan, sepatutnya subsidi minyak dan gas tidak ditarik balik. Begitu juga dengan gula. (Tetapi) Ketirisan dan kebocoran projek-projek dan pemerolehan kerajaan serta syarikat-syarikat kepentingan kerajaan( GLC) sepatutnya ditangani,”katanya ketika dihubungi Buletinonline semalam.

Menurutnya, kerajaan BN tidak patut mengurangkan subsidi diwaktu yang sama meraih hasil dari kenaikan ini untuk dibelanjakan demi kepentingan para Menteri dan keluarga.

Manakala Penolong Setiausaha, Haji Hanafiah Mat berkata, kenaikkan harga tersebut merupakan satu lagi mercu tanda produk 1Malaysia, rakyat di dahulukan.

“Ia sebagai bukti rakyat lah (yang lebih dahulu) menjadi mangsa kerakusan pemimpin Umno/BN setiap kali memngumumkan kenaikan harga minyak.”jelasnya.

Menurutnya kenaikkan bahan api utama itu tidak akan terhenti di situ, ia turut akan menaikkan harga bahan mentah dipasaran kerana semua bahan mentah tersebut diangkut menggunakan petrol dan diesel.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Terengganu menyeru rakyat supaya terus bangkit menolak BN dalam pilihanraya yang akan datang kerana tindakan menaikkan harga tersebut merupakan penganiyaan kepada rakyat terutama golongan sederhana dan bawahan.

Timbalan Ketuanya, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah menggesa kerajaan membuang slogan rakyat diutamakan kerana katanya ia adalah retorik Najib semata-mata.

“Slogan 1Malaysia tidak memberi sebarang makna kepada rakyat, ia tidak memberi manfaat bahkan mengkhianati mandat rakyat,”katanya.

Wan Sukairi berkata, tindakan Najib menggunakan helah kononya ‘menyelaraskan semula subsidi’ tetapi pada masa yang sama menaikkan harga menunjukkan kegagalan rancangan ekonomi yang baru saja dibentangkan oleh kerajaan.

Kerajaan BN semalam, mengumumkan bahawa subsidi bahan api, khususnya petrol, diesel dan petroleum gas cecair (LPG), serta gula, akan dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat berkuat hari ini Jumaat, 16 Julai.