Kembalikan Kegemilangan Rantau Abang

2872

KUALA TERENGGANU – Kerajaan digesa mengembalikan kegemilangan Rantau Abang yang suatu ketika dulu menjadi tumpuan pelancongan kerana memiliki alam semulajadi yang cantik.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Cikgu Alias Harun kesal kerana tiada perancangan pembangunan daripada kerajaan negeri untuk menghidupkan kembali pusat pelancongan utama yang sangat popular di negeri ini, pada tahun 70-an dan 80-an.

“Sedangkan telah saya kemukakan pada sidang yang lepas, paya pesisir pantai sepanjang 7km di Rantau Abang ini,

“bermula jambatan Jambu Bongkok hingga ke Kampung Rantau Abang sepanjang tujuh kilometer, payanya cantik, pantainya cantik,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Bajet 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, Selasa 12 Disember.

Ketua Penerangan PAS Dungun itu juga mengharapkan, dengan merancakkan kembali sektor pelancongan di kawasan terbabit, ia mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Selain itu, Cikgu Alias juga menyentuh tentang kegagalan pihak kontraktor, Permis Construction Sdn. Bhd. menyiapkan projek saliran di Kampung Gong Pasir yang sepatutnya jangka siap pada bulan Oktober lalu.

Beliau turut ingin tahu, apakah tindakan kerajaan dan denda yang ditetapkan dan dikenakan kepada kontraktor tersebut.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN Rantau Abang merayu, supaya kerajaan meluaskan laluan air yang terlalu kecil yang terletak di jalan simpang masuk ke Tok Kah khususnya, Jalan Alur Rekam.

“Dimana kalau hujan, dua jam sahaja, beberapa buah rumah di persimpangan Tok Kah ini akan dinaiki air,

“menyebabkan salah satu kawasan tersebut melibatkan kedai makan, mereka akan mengalami beberapa hari, “ jelasnya.

Sedangkan, tambah beliau, ia dianggarkan tidak menelan kos yang banyak, namun tindakan segera yang perlu diambil oleh kerajaan Umno dan BN, supaya masyarakat yang senantiasa mengalami masaalah banjir ini dapat hidup dengan selesa.