Karnival Taman Syurga Fahamkan Fungsi Masjid

2982

KUALA TERENGGANU – Satu program yang diberi nama Karnival Taman Syurga anjuran Masjid al-Muktafi Billah Shah (MAMBS atau masjid Ladang) 2018 akan memberi kefahaman sebenar fungsi sesbuah masjid.

Karnival yang dijadual akan diadakan pada 7-10 Julai 2018 ini, akan berlangsung di perkarangan MAMBS atau yang lebih dikenali sebagai masjid Ladang.

Program yang julung kalinya diadakan itu, mensasarkan menarik orang ramai untuk memahami fungsi masjid terutamanya golongan muda serta menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti seharian selain daripada pusat penyampaian ilmu.

Lebih dari itu, peranan masjid juga akan diharap boleh dilihat sebagai tempat yang menyediakan persekitaran yang soleh, sekaligus akan memandu masyarakat ke arah masyarakat yang damai dan harmoni.

Menurut Setiausaha Lembaga Pengurusan Masjid, Ahmad Azman Tajuddin, antara pengisian lain yang dirancang ialah kuliah, bicara ilmuan, daurah kitab fiqh, sembang selebriti dan diskusi ilmiah.

(Azman paling kanan)

“Kami juga menyediakan pertandingan seperti E-Sport, Battle of Nasyidian, pertandingan bercerita kisah nabi, pertandingan azan, mewarna dan pertandingan menulis artikel Islam.

“ada juga pesta buku Islam, pameran jualan, bike meet, derma darah, free market, pemeriksaan kesihatan percuma, memanah, congkak, catur dan karom.

“cetusan idea bagi karnival ini adalah datang dari pegawai-pegawai masjid AMBS,” jelas Azman yang ditemui selepas perbincangan dengan wakil kerajaan negeri di Wisma Darul Iman.

Tambah beliau lagi, antara selebriti dan penceramah jemputan yang akan mengisi program-program yang dijadualkan itu ialah pendakwah tersohor, Ustaz Azhar Idrus, Dr Danial Zainal, Adam Corie dan Zul Yahya.

Karnival ini juga mendapat sokongan daripada kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Beliau menyeru semua lapisan masyarakat membawa ahli keluarga masing-masing bagi memeriahkan lagi karnival ini dan dapat memahami fungsi sebenar masjid.