Oleh : Alfian Mamad
KEMAMAN – Gerak kerja parti (jamaah) perlu diteruskan dan jangan sesekali ditinggalkan walaupun sudah menjadi kerajaan.
Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Kijal Ustaz Hazri Jusoh berkata, Bilik Gerakan perlu diaktifkan dengan kerja penculaan dan penambahan ahli baru.
“Kita mengharapkan supaya cawangan PAS dapat ditubuhkan oleh setiap MPKK yang ada pada hari ini,
“Dengan kehadiran pada malam ini yang agak ramai, saya rasa tidak lagi menjadi alasan bahawa kita tadok orang.” tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dihadapan peserta pada Majlis Pengundian Lot Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian Sungai Mekelok di Sri Bandi pada Ahad, 23 September.
Menurutnya, semua petugas perlu berwaspada dan bersiap siaga kerana ‘musuh’ sentiasa mengintai peluang untuk menyerang.
“Saya dimaklumkan melalui media sosial bahawa pihak musuh politik kita sudah mula bergerak di Sri Bandi ini,” jelas beliau yang juga selaku Ketua Penerangan PAS Kawasan Kemaman.
“Dan saya juga berharap supaya kita semua menyambut baik dan bersabar dengan setiap arahan yang dikeluarkan oleh pimpinan kita samada dari peringkat MTD, Kawasan dan Negeri mahupun dari peringkat Pusat,” pesan beliau lagi mengakhiri ucapan.



























