Jambu Bongkok ‘Lembah Silika Terengganu’

20999
Kawasan loji memprpses membasuh silika mentah di Kampung Sungai Bari, Setiu

Oleh: Suhaimi Taib

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri mengisytiharkan kawasan seluas empat ribu hektar di Kampung Jambu Bongkok Marang sebagai Lembah Silika Terengganu yang bakal memyediakan 7,600 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu dengan nilai pelaburan berjumlah RM13 Billion.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar membuat pengisytiharan tersebut ketika menggulung perbahasan Titah Ucapan Perasmian Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke 14 di sini pada 4 Julai.

Serentak itu satu jawatankuasa pembangunan lembah silika telah dibentuk dan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji A Rahman Yahya.

Antara usaha yang telah dilaksanakan ialah meminta pegawai tanah dan galian negeri mengkaji semula Enakmen Mineral Negeri Terengganu.

“Untuk meningkatkan hasil dalam industri ini Kerajaan Negeri akan mengkaji semula enakmen berkaitan dengan matlamat menggalakkan pembangunan industri mineral silika bagi menjana pendapat Kerajaan Negeri dan sebagai hub galian negara.

“Kajian ini akan melibatkan perubahan polisi dan prosedur untuk menggalakkan pelaburan swasta dengan kerjasama anak syarikat Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Menteri Besar berkata, tumpuan utama Kerajaan Negeri ialah memaksimakan guna tenaga anak-anak negeri Terengganu sendiri.

Di samping itu ia bertujuan untuk mengukuhkan rangkaian ekonomi industri mineral silika dengan sektor-sektor lain dalam pembangunan ekonomi Negeri Terengganu.
Ini termasuk dalam pemperosesan industri hiliran dan produk akhir berasaskan mineral silika di Negeri Terengganu.

“Ia juga bertujuan meningkatkan pendapatan negeri ini termasuk menaikkan kadar bayaran lesen pajakan dan royalti mineral silika untuk menambah hasil pendapatan Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Dr. Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, Lembah Silika itu juga berpotensi besar untuk menjana dan menambah hasil pendapatan baharu kepada Kerajaan Negeri.

“Lembah Silika Terengganu adalah satu kawasan perindustrian bersepadu khususnya dalam industri berasaskan silika dan quartz, “jelasnya.

Lembah itu katanya, akan dilengkapi dengan kemudahan paip gas dari Kerteh, Kemaman, sebuah terminal bas, taman perumahan, bangunan komersial dan lain-lain.

Aktiviti lombong silika di Rantau Abang dirakam pada Rabu 7 Mac, 2018

“Lembah Silika Terengganu akan berjaya menarik pelaburan langsung asing dan pemain-pemain utama dalam industri ini kerana kelebihan kualiti bahan mentah silika, penjimatan kos pengangkutan dan ekosistem yang ditawarkan dalam pakej insentif yang kompetetif, ditawarkan oleh ‘Malaysian Industrial Development Autority’ (MIDA) atau lain-lain agensi Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Secara keseluruhannya kata beliau, Kerajaan Negeri menjangkakan sebanyak 7,600 peluang pekerjaan baharu akan dapat diwujudkan dengan nilai anggaran pelaburan sebanyak RM13 Billion melalui industri ini.

“Perkara ini sekaligus memudahkan usaha kerajaan menunaikan janji manifesto PAS Terengganu bagi menyediakan 20 ribu peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Terengganu dalam tempoh 4 tahun, ” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, sektor pembuatan, minyak dan gas serta lain-lain industri akan terus diberi penekanan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada anak Negeri Terengganu.