Jambatan berbahaya

889

http://buletinonline.net/images/stories/berita30/pix_gal0.jpgStruktur binaan retak, penghadang dicuri ancam keselamatan pengguna
DUNGUN
– Melihat aksi kanak-kanak bersandar pada tiang jambatan ke pantai Kuala Abang di sini, sudah cukup menggerunkan, apatah lagi ada dengan selamba bertenggek di atas tiang jambatan itu yang hanya menunggu masa untuk roboh.

Kawasan sekitar jambatan dan pantai itu dikunjungi orang ramai yang kebanyakannya berhenti untuk menunaikan solat di Masjid Kuala Abang yang terletak hanya 50 meter daripada jambatan merentasi Sungai Kuala Abang.

Jambatan yang dibina lebih 40 tahun lalu bagi memudahkan nelayan membawa peralatan menangkap ikan turun ke laut, turut menjadi laluan orang ramai selepas kawasan paya bakau dan pantai itu mula dikenali ramai.

Bagaimanapun, hakisan di tebing jambatan pada musim tengkujuh sejak beberapa tahun lalu menyebabkan sebahagian besar struktur tiang jambatan berkenaan retak serta membengkok, malah sebahagian penghadang dikerat pencuri besi tercabut hingga mengancam keselamatan pengguna.

Tinjauan Edisi Timur di kawasan jambatan itu mendapati, beberapa kanak-kanak kelihatan bermain di atas jambatan tanpa rasa takutkan bahaya dan ancaman keselamatan.

Nelayan, Kassim Dollah, 58, berkata besi penghadang yang terlalu jarang dan sebahagiannya sudah patah serta hilang dipercayai kerana dicabut oleh pencuri besi sewajarnya diganti segera bagi mengelak pengunjung terjatuh ke dalam sungai.

“Saya sering melihat kanak-kanak bermain di atas jambatan ini. Ketika ibu bapa mereka menunaikan solat di Masjid Kuala Abang bersebelahan jambatan ini, mereka mengambil kesempatan bermain di sekitar jambatan ini.

“Jika saya ternampak, saya akan tegah. Memang keadaan tiang penghadang jambatan yang sudah banyak tercabut sangat merbahaya. Silap langkah, mereka boleh jatuh ke dalam sungai. Apatah lagi, tiang jambatan ini dibina terlalu jarang dan tiada ciri keselamatan langsung,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Abang, Mokhtar Mamat, 42, berkata, jambatan baru perlu dibina segera bagi menggantikan jambatan sedia ada.

“Kawasan ini yang menjadi tumpuan orang ramai perlu dinaikkan taraf. Lihat sajalah keadaan wakaf di sini sangat uzur dan terbiar. Bumbungnya sudah tercabut,” katanya.

Seorang pengunjung yang ditemui, Tengku Ibrahim Tengku Yahaya, 44, berkata, dia bersama keluarga selalu mengunjungi lokasi itu yang bukan saja mempunyai pemandangan indah paya bakau, malah pantai di sekitar lebih bersih dan jauh dari bunyi bising kenderaan.

“Rasanya, kawasan ini jika dibangunkan dengan kemudahan awam yang baik dan dilengkapi ciri keselamatan, ia mampu menjadi lokasi tarikan pengunjung termasuk penduduk tempatan sendiri untuk beriadah,” katanya.-BHarian Online