Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Ijtimak Alami kali ketiga turut dihadiri oleh pimpinan Jamaat-e-Islami (Jami’at), gerakan Islam yang telah lapan dekad berjuang dimedan operasi dakwah dan siasah.Perjuangan umat Islam di rantau sub-continent merupakan jalur sejarah yang panjang di mana umat Islam seperti empayar Moghol dan kesultanan Delhi. Wilayah ini juga turut memancarkan cahaya kebenaran Islam ke rantau lain melalui usaha perdagangan sehingga rantau Asia Tenggara turut menerima angin sejahtera Islam.
Jami’at Islami telah ditubuhkan di Lahore pada 26 Ogos 1941 untuk melaksanakan tuntutan al-Quran dan Sunnah. Maududi telah mengundang seramai 150 orang pecinta Islam untuk bermesyuarat di kediamannya yang terletak berhampiran dengan Masjid Mubarak, Islamia Park. Kelompok awal ini terdiri daripada mereka yang mendapat pendidikan moden yang terdiri dari kalangan pemikir Muslim dan mewakili pelbagai latar belakang profesi.
Memandangkan gerakan ini semakin berkembang, maka pimpinan Jami’at Islami memutuskan untuk membina sebuah ibu pejabat parti bagi melincinkan perjuangan. Pembinaan pejabat ini yang melindungi mini kompleks, hospital, kolej, universiti, sekolah tahfiz, masjid, perpustakan, kedai buku, rumah tetamu dan perumahan staff telah dimulakan pada tahun 1972 di Mansoorah, Lahore. Gerakan ini semakin berkembang termasuk mendapat derma daripada ahli-ahlinya yang bekerja di luar negara. Ahli-ahli gerakan ini sangat aktif mengumpulkan kulit-kulit binatang korban untuk dijual dan hasil jualan disumbangkan kepada Jamiat Islami.
Cerakan ini sangat responsif terhadap isu-isu dalam negara dan luar negara dan sangat digeruni oleh regim Pakistan, ahli-ahlinya sangat peka kepada isu yang menyentuh nurani ummat seperti isu perobohan Masjid Babri di India, isu `satanic verses’ , isu Palestin dan kekejaman Yahudi Amerika terhadap ummat Islam malah turut menghantar ahli-ahlinya ke medan tempur Afghanistan dan Kashmir. Demonstrasi yang diadakan daripada masa ke semasa bagi menjuarai isu yang menyentuh kepentingan ummah biasanya dihadiri oleh ratusan ribu aktivis.
Cerakan pemuda Islamnya digelar sebagai PASBAN cukup dikenali ramai di Pakistan, biasanya mengawal majlis-majlis dan memastikan keselamatan program. Jamiat juga turut menaungi beberapa NGO tersohor di Pakistan seperti al-Khidmat Foundation, Pakistan Islamic Medical Asociation (PIMA), TRUST Foundation.
Selama hampir lapan dekad berada di persada politik dan dakwah di Pakistan serta beberapa negara Indo-Pak, Jami’at Islami semakin kuat dan berkembang walaupun dihadang oleh regim dan kelompok munafik. Jami’at Islami agak lemah prestasinya dalam pilihanraya yang disertainya kerana Maududi lebih menekankan soal kualiti dan ahli yang bersakhsiah tinggi namun pengaruh dakwahnya berkembang pesat dan diakui sangat menyumbang kepada negara. Dalam penglibatan berpilihanraya, Jami’at kurang didekati oleh rakyat jembel serta massa malah lebih mendapat sokongan daripada golongan intelek dan kelas menengah.
Kini Jamiat Islami berdepan dengan pelbagai ujian dan cabaran, di Bangladesh mereka ditekan dengan hebat termasuk dalam penjara negara itu kini mendekam 40 000 aktivis Jamiat. Ada yang telah syahid di tali gantung seperti Maulana Abdul Qader Mulla, Mutiur Rahman. Begitu juga Jamiat Islami di Sri Langka, dimana populasi muslim sangat rendah dan mereka diwajahkan oleh media tempatan sebagai ekstremis dan barbarik. Di ijtimak Alami ini kita akan berkongsi cerita suka duka gerakan mereka. Jom!
(Penulis ialah AJK PAS Pusat ,Pengarah Promosi Ijtimak Alami kali ketiga)