Isu ‘Private Bill’ ; Ustaz Hadi Nasihatkan DAP

1684

Oleh : KAM

KUALA TERENGGANU – PAS menasihati rakannya DAP dalam Pakatan Rakyat agar tidak membuat kenyataan yang boleh ‘mengheret’ anggapan bahawa parti itu anti Islam dan bermusuh dengan orang Islam.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Adu Hadi Awang berkata ‘respon’ kalangan bukan Islam pelbagai peringkat yang datang menemuinya dalam isu hudud sangat positif.

Katanya, orang bukan Islam di Malaysia hari ini sudah berubah dan telah bercampur dengan orang Islam, masyarakat yang majmuk dengan cara yang sangat baik.

IMG-20150410-WA0024Justeru, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, beliau tidak menganggap parti DAP itu mewakili semua orang bukan Islam di negara ini.

“Saya hendak beri ingat kepada DAP. Jangan membuat kenyataan-kenyataan yang ‘mengheret’ sehingga orang Islam menganggap DAP anti Islam dan bermusuh dengan orang Islam. Ini suatu anggapan yang kita (PAS) tidak mahu berlaku.

“Saya tidak menganggap DAP ini mewakili semua orang bukan Islam. Orang bukan Islam tidak (semuanya) bersama dengan DAP.

“Sebab, saya juga ditemui oleh kalangan-kalangan orang bukan Islam, yang memberi ‘respon’ yang sangat positif. Sama ada mereka bersetuju dan tidak bersetuju termasuk yang tidak bersetuju datang menemuramah, interview saya ada dalam negeri dan luar negeri.

“Di antaranya, mereka yang sedang membuat PhD tentang politik Malaysia dan beberapa hari lalu, pemberita Reuters dan AFP datang membuat interview. Dan saya diundang untuk memberi ceramah khusus di sebuah Universiti di Singapura pada hujung bulan (April) ini, dan mungkin isu (hudud) ini dibangkitkan,” ujarnya di bilik mesyuarat Pejabat Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.

Beliau berkata demikian pada satu sidang medianya selepas merasmikan sebuah kenderaan bagi Ma’ahad Darul Quran (MDQ) di perkarangan Masjid Rusila, Marang, Jumaat 9 April.

Menurutnya, mana-mana pihak yang tidak bersetuju itu perlu melihat secara ilmu dan bukan menghentam secara “keromo”.
Apatah lagi,kata Ustaz Abdul Hadi, usul Rang Undang-undang Persendirian (Private Bill) yang dikemukakan di Parlimen itu hanya berkait dengan orang Islam sahaja.

Menurutnya, DAP tidak perlu bimbang dan ‘takut’ orang bukan Islam terpengaruh kerana negara demokrasi memberi hak kepada semua orang melihat antara satu sama lain.

“Sebab, apa yang kita (PAS) kemukakan dalam usul ini kita tidak sebut pun perkataan hudud walau pun satu patah perkataan.

“Usul ini, Bahawa Dewan ini memberikan kebenaran menurut Peraturan Mesyuarat 49(1). Kepada Yang Berhormat Ahli bagi kawasan Marang untuk mencadangkan suatu Rang Undang-undang (RUU) Ahli Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah, (Bidang Kuasa Jenayah) (pindaan) 2015 seperti berikut;

IMG-20150410-WA0057“Satu menggantikan Seksyen 2 dengan Seksyen berikut.

“2, Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut beragama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Senarai 1. Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan”, dan memasukkan selepas Seksyen 2 dengan Seksyen berikut;

“2A, Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkait hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah Seksyen yang disebut di atas, sesuai dengan kehendak syariah Islam,” jelasnya ketika membaca usul yang telah dikemukakan kepada Parlimen tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata Rang Undang-undang Persendirian itu akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang bertarikh 18 Mei 2015.

Dato’ Seri Abdul Hadi juga berpuas hati kerana usul tersebut akhirnya dapat dibawa ke Parlimen setelah berlaku perbincangan antara kerajaan Kelantan dengan kerajaan Persekutuan.

“Saya berpuas hati kerana usul (RUU) ini dibawa setelah berlakunya perbincangan di antara negeri Kelantan dengan kerajaan pusat.

“Yang (perbincaangan) melibatkan semua pihak termasuk pihak undang-undang sendiri libat sama dan mendapat dukungan daripada jabatan-jabatan yang terlibat dengan agama Islam, jabatan mufti di seluruh negara dan pihak-pihak yang lain dari NGO Islam bersama dalam isu ini,” ujarnya.

https://youtu.be/nkZnGPfyfDw