Isu Perak: Biar Pelbagai Rasa, Komited Perteguh Muafakat

564

SAYA telah menghadiri usrah bersama Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, saya sangat tertarik dengan ayat yang dibaca oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika memulakan usrah. Firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran:

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ ﴿١٥٩﴾

“Maka dengan rahmat daripada Allah S.W.T, engkau bersikap lemah-lembut, jika engkau bersikap kasar dan keras hati, nescaya mereka akan berselerak dan menjauhkan diri daripada kamu. Maka hendaklah kau mengampuni mereka, memohon ampun, beristighfar buat mereka dan berbincanglah dengan mereka dalam urusan ini. Apabila engkau telah meletakkan keazaman yang besar maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

Tuan Guru telah menyebut mengenai asbab turunnya ayat ini. Dalam peperangan Uhud, Allah Taala menguji para Sahabat dengan kemenangan yang singkat. Tanpa disangka, para Sahabat melakukan kesilapan yang akhirnya menyebabkan musibah yang besar.

Musibah itu bukan sahaja ditanggung oleh para Sahabat Nabi, tetapi juga dirasai oleh Nabi S.A.W. Oleh itu, Allah S.W.T telah memberi ingatan kepada Nabi agar memiliki sifat dan akhlak yang mulia iaitu lemah lembut, jangan sesekali bersikap kasar dan keras hati dalam menentukan sesuatu pendirian dan sikap kerana Allah S.W.T mengutuskan Nabi sebagai rahmat kepada sekalian alam. Di samping itu, Nabi dididik dengan naungan rahmat al-Quran al-Karim.

Semalam saya berfikir mengenai ayat yang dibaca oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Walaupun beliau tidak menyatakan secara langsung pendiriannya dan parti PAS terhadap situasi terkini di Perak, tetapi saya berfikir dan merenung panduan dan pedoman indah daripada ayat tersebut.

Dewan Ulamak PAS telah meletakkan temanya dalam muktamar yang lalu iaitu Memperteguh Muafakat Ummah.Oleh itu, ayat ini menggariskan beberapa sifat dan tindakan yang sewajarnya bagi memperteguhkan muafakat dan memperkukuhkan perpaduan ummah.

Situasi di Perak mengundang berbagai reaksi dan andaian. Kita tidak menyalahkan apa sahaja reaksi dan andai kerana ia adalah permasalahan yang merunsingkan banyak pihak. Walaupun demikian, kita mesti bergerak atas matlamat yang telah ditetapkan dan halatuju yang telah disusun. Muafakat yang masih muda dan perpaduan yang sangat mencabar perlu disemai dengan reaksi yang rasional. Sifat marah mesti dipadamkan. Emosi mesti dikawal. Allah S.W.T telah memperteguhkan penyatuan Sahabat-sahabat Nabi dengan sifat bermaaf-maafan, sentiasa beristighfar (memohon ampun kepada Allah terhadap segala kesilapan) dan kembali ke meja permesyuaratan dan rundingan.

Muafakat Nasional merupakan satu kejayaan yang dicemburui oleh musuh. Perikatan Nasional merupakan satu kekuatan yang digeruni oleh lawan. Jangan dengan sebab apa-apa kesilapan, ia memberi peluang kepada DAP dan sekutunya (PH) berjaya membina semula menara kekuasaan yang membuahkan kekecewaan kepada ummah. Perteguhkan muafakat ummah untuk merebahkan musuh di pintu kegagalan penguasaannya dalam politik Negara. Sekian.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH,
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat,
6 Disember 2020