Iran nafi Ahmadinejad diserang dengan bom

654

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita30/ahmadinejad_100719055807.jpgTEHERAN: Iran menafikan laporan yang mengatakan Presiden Mahmoud Ahmadinejad diserang dengan bom tangan Rabu lalu.

Agensi berita Irna berkata letupan dekat konvoi beliau adalah disebabkan mercun yang dilempar seorang lelaki bagi menyambut ketibaan beliau di bandar Hamedan, dan bukan satu percubaan hendak membunuh beliau.

‘Tidak ada serangan serupa itu berlaku,’ kata seorang pegawai di pejabat presiden, seperti dilaporkan Press TV.

Beberapa media setempat dan luar negara awal dari itu melaporkan bahawa sebutir bom tangan meletup dekat konvoi Ahmadinejad semasa beliau melawat bandar Hamedan, 280 kilometer ke barat daya Teheran.

Laman web khabaronline.ir berkata  Ahmadinejad tidak cedera dalam insiden itu dan tiada laporan mengenai sebarang korban jiwa.

Menurut laporan, lelaki yang melempar bom tangan telah ditahan.

Stesen televisyen Al-Arabiya melaporkan beberapa orang cedera dalam letupan itu dan penyerangnya ditangkap di tempat kejadian.

Al-Arabiya dan khabaronline.ir berkata letupan itu menjadikan kereta yang membawa wartawan sebagai sasaran.

‘Kereta Presiden berada 100 meter dari tempat letupan dan tidak ada apa-apa yang berlaku ke atas beliau,’ kata laporan itu.

Para saksi di Hamedan memberitahu Associated Press menerusi telefon bahawa letupan itu memang akibat mercun.

‘Ia letupan mercun yang kuat dan mengeluarkan asap dekat tempat saya berdiri. Ramai orang merakamnya dengan telefon bimbit mereka,’ kata Amin Mehrabi.

Timbalan ketua polis Iran, Jeneral Ahmad Reza Radan, memberitahu Irna bahawa laporan mengenai ‘letupan’ merupakan satu pembohongan oleh media asing.

Encik Ahmadinejad kemudian memberi ucapan seperti yang dirancang, dan ia disiarkan secara langsung oleh televisyen pemerintah.

Beliau tidak menyebut mengenai serangan itu, tetapi menegaskan bahawa Iran tidak akan tunduk kepada tekanan Barat agar menghentikan program nuklearnya.

‘Anda tersilap jika anda berfikir, dengan ugutan dan pembohongan, anda akan berhasil membuat kami bertolak ansur,’ tegas beliau. — Agensi.