Oleh: Syed Abdul Rahman
KUALA TERENGGANU – Ijtima’ Tarbawi merupakan medan terbaik untuk ahli PAS menambahkan ilmu dan pengetahuan serta memantapkan kefahaman dalam gerak kerja.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Ahmad Shah Muhamed merayu kepada seluruh jentera PAS di semua peringkat khususnya dari Kawasan Kuala Terengganu untuk turut menyertai Ijtima Tarbawi 6.0 yang berlangsung di Matin, Perlis pada 26 dan 27 Oktober ini.
“Ijtima Tarbawi menyediakan pengisian yang sangat bermanfaat dan ianya perlulah disertai oleh seluruh anggota parti kerana ianya dapat mengukuh dan memantapkan kefahaman tentang kenapa dan mengapa perlunya ahli PAS berada di dalam parti.
“Selain itu juga, ianya bertujuan untuk menentukan hala tuju parti untuk berhadapan dengan situasi politik semasa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di sini, semalam.
Tambahnya, para peserta akan dapat meraih pelbagai pandangan serta taujihat samada dari kepimpinan pemuda mahupun PAS Pusat.
“Apa yang menarik lagi, ijtimak ini juga bukan hanya disertai oleh AJK PAS Pusat bahkan Tuan Guru Presiden PAS dan Mursyidul Am turut terlibat dalam memberikan pengisian.
“Dengan suntikan taujihat yang disampaikan oleh pimpinan, ianya bakal menjadikan kita jentera yang sentiasa bekerja dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh menambahkan kekuatan parti seterusnya beristiqomah dengan perjuangan Islam walau apa jua cabaran yang mendatang,” jelasnya.