Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan jutaan tahniah dan syabas kepada ribuan anak muda yang hadir dengan berpakaian hitam di Dataran Merdeka malam tadi.
Ketuanya Suhaizan Kayat menganggap kehadiran ramai itu sebagai tanda rakyat menghormai nilai dermokrasi
“Saya menganggap kehadiran mereka sebagai tanda rakyat amat menghormati nilai demokrasi di negara ini.
“Anak-anak muda hadir dengan penuh semangat mengenepikan sentimen perkauman, warna kulit, agama dan budaya semata-mata dengan satu suara, iaitu membantah kerajaan menaikkan harga barangan,”ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini


Katanya, himpunan malam tadi adalah permulaannya dan memberi amaran supaya kerajaan bertoleransi dengan rakyat.
“Saya juga ingin menyatakan rasa yang sama, bahawa himpunan malam tadi adalah permulaannya dan jika kerajaan tidak berganjak dengan sikap degil dan tidak bertoleransi dengan rakyat,
‘himpunan yang jauh lebih besar dari ini akan digerakkan,”tegasnya.
Beliau dengan sinis bertanya, ekoran himpunan semalam, kerajaan mana yang telah terguling dan bom mana yang sudah meletup?
Jelas beliau, kejayaan himpunan itu menolak segala fitnah dan membuktikan sebanyak 1300 laporan polis dibuat terhadap penganjur adalah tidak benar.
“Jelaslah kini bahawa segala tohmahan tersebut adalah sekadar ketakutan terhadap bayang-bayang sendiri serta igauan buruk bahawa rakyat bangkit menentang kebobrokan dan kepongahan kerajaan.
“Kerajaan dilihat gagal mengurus tadbir negara dengan baik dan membiarkan rakyat terus sengsara dengan kenaikan harga barang, sedangkan pemimpin negara hidup mewah dan berboros berbelanja hasil duit rakyat,”katanya
Justeru, beliau yakin, tohmahan dan ancaman yang dilemparkan tidak mampu melemahkan kebangkitan rakyat, malah anak muda semakin bersemangat dan berani menyatakan sikap tanpa menghiraukan risiko yang bakal ditempuh.


























